6 Kesilapan Utama Yang Mesti Pelabur Baharu Elakkan

127

Bidang pelaburan merupakan salah satu bidang yang mampu memberikan pulangan yang sangat lumayan kepada mereka yang melabur. Tetapi, ramai pelabur yang sering melakukan beberapa kesilapan yang akhirnya membuatkan mereka mengalami kerugian.

Jika anda berminat dalam bidang pelaburan, cuba elakkan daripada melakukan perkara-perkara ini.

1. Tidak Membuat Perancangan

Ramai para pelabur terutamanya pelabur baru tidak melakukan perancangan rapi sebelum mengambil keputusan untuk melabur. Ramai yang melakukan pelaburan berdasarkan trend semasa dan juga khabar-khabar angin sahaja.

Pelaburan sama juga seperti perniagaan, anda perlu teliti dan merancang strategi tertentu dahulu, barulah anda boleh memaksimakan lagi pulangan yang bakal anda peroleh sekaligus meminimakan kerugian sekiranya percaturan anda tidak menjadi.

2. Kurang Buat Kajian

Kesilapan kedua yang sering dilakukan oleh para pelabur adalah tidak mempersiapkan diri dengan ilmu pelaburan. Anda boleh mengukuhkan ilmu-ilmu perlaburan ini dengan melakukan kajian secara berterusan.

Elakkan daripada melabur di dalam pelaburan yang anda sendiri tidak begitu faham. Contohnya anda tidak begitu mahir tentang selok-belok naik turun harga hartanah serta kesannya kepada pelabur, jadi lakukan research yang teliti sebelum terjun dalam pelaburan ini.

3. Kurang Kefahaman

Setiap bahan bacaan serta hasil kajian anda tidak menjamin anda akan mencapai pulangan yang lumayan. Ia hanyalah sebagai satu alat untuk anda membuat perancangan atau strategi pelaburan anda sendiri.

Ini kerana pelaburan bukan sekadar anda membeli saham sesebuah syarikat sahaja, tetapi anda perlu memahami tentang industri syarikat tersebut. Jadi tambah ilmu anda dengan berguru dengan sifu-sifu pelaburan yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini.

4. Tamak

Inilah perkara utama yang membuatkan ramai pelabur rugi besar dalam pelaburan mereka. Terlalu teruja untuk mendapatkan pulangan yang lebih lumayan membuatkan ramai pelabur tersilap langkah dalam melakukan pelaburan.

Ada yang melabur terlalu tinggi untuk sesuatu yang tidak pasti dengan harapan akan mendapat pulangan yang berlipat kali ganda. Sebab itulah anda perlu melakukan research yang lebih terperinci dan mengetepikan sementara soal pulangan agar anda dapat membuat keputusan yang lebih tepat.

5. Percaya Kepada Khabar Angin

Dalam bidang pelaburan, peka merupakan sikap yang harus ada pada semua pelabur. Khabar angin ada kalanya benar dan ada kalanya juga salah sama sekali.

Jadi sebagai pelabur bijak, anda perlu menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu khabar angin itu sebelum membuat sebarang keputusan. Sebab itulah sesetengah pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum melakukan apa-apa pelaburan.

6. Suka Bertangguh

Ramai yang sedar bahawa pelaburan boleh memberikan pulangan yang lumayan. Tetapi ramai yang suka berlengah-lengah untuk memulakan langkah pertama dalam pelaburan.

Alasan utamanya adalah kerana takut tersalah langkah sekaligus menyebabkan kerugian kewangan yang tinggi. Tetapi sedarkah anda, lebih awal anda memulakan pelaburan pertama, lebih tinggi peluang untuk anda mengumpulkan simpanan.

Untung dan rugi merupakan adat dalam dunia pelaburan. Kesemua ini akan menjadikan anda matang dalam membuat sebarang keputusan.

Pelaburan merupakan satu bidang yang penuh dengan cabaran. Begitu juga dengan bidang-bidang kerjaya yang lain.

Apa yang penting, anda perlulah bersedia dari segi mental dan juga fizikal. Persiapkan diri anda dengan ilmu yang secukupnya dan anda pasti akan berjaya.

Penafian : Sumber dari Majalah Labur

Penafian: Pendedahan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja

Penulis : Eliya Joharni

Berminat untuk join Komuniti Trading Scalper No 1 Di Malaysia ? Jom join Telegram Channel untuk Tips dan Info semasa mengenai SuperScalper https://t.me/+ICnBSih70bA1MTI1