TAK SANGKA ! Bilionair Dunia Melonjak Hampir 3,000 Orang, RM75 Trilion Kini Dalam Tangan Mereka

14

Kekayaan keseluruhan golongan bilionair dunia terus mencatat rekod baharu pada 2025, mencecah AS$15.8 trilion (RM75 trilion) dengan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Laporan Aspirasi Bilionair edisi ke-11 yang dikeluarkan UBS, seperti dipetik Agensi Akhbar Jerman (dpa), mendedahkan bahawa pertumbuhan itu didorong oleh pelaburan dalam teknologi baharu serta berlakunya ‘gelombang pewarisan merentas generasi terbesar’ setakat ini.

Foto : Forbes

Jumlah individu bilionair global juga meningkat kepada 2,919 orang pada 2025, berbanding 2,682 pada 2024. Daripada jumlah tersebut, 2,545 merupakan lelaki manakala 374 pula adalah wanita, menurut bank berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) terus mendominasi senarai global dengan jumlah bilionair tertinggi, iaitu 924 individu yang bersama-sama menguasai kekayaan sekitar AS$6.9 trilion. China berada di tempat kedua dengan 470 bilionair yang memiliki kira-kira AS$1.8 trilion.
Di Eropah Barat, Jerman yang sering digambarkan sebagai negara paling makmur di rantau itu, mencatat peningkatan 33 peratus bilionair, menjadikan jumlah keseluruhan 156 individu.

Secara keseluruhan, kelompok bilionair Jerman mengumpulkan kekayaan sebanyak AS$692.1 bilion, meningkat AS$145.9 bilion berbanding tahun 2024.
UBS menjelaskan bahawa kekuatan Jerman dalam pelbagai sektor termasuk farmaseutikal, kejuruteraan mekanikal dan barangan pengguna menyediakan asas kukuh yang mempercepatkan kejayaan usahawan di negara tersebut.

UBS turut melaporkan bahawa Jerman mempunyai tradisi pemindahan kekayaan yang kukuh, apabila 15 ahli daripada dua keluarga farmaseutikal terkenal mewarisi sejumlah besar aset pada tahun 2025.

Bank itu menjangkakan bilangan bilionair global akan terus bertambah dalam beberapa dekad akan datang, seiring dengan peningkatan kadar pemindahan kekayaan.

Dalam laporannya yang merangkumi tunai, sekuriti, pegangan syarikat, hartanah serta aset ketara lain, UBS menganggarkan bahawa sehingga tahun 2040, sekitar AS$6.9 trilion kekayaan akan dipindahkan oleh para bilionair.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya AS$5.9 trilion dijangka diwariskan kepada anak-anak sama ada secara terus atau melalui pasangan sebagai perantara.

Sumber : Bernama – dpa –