Ringgit memulakan dagangan dengan peningkatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) meskipun pasaran kekal berhati-hati susulan risiko penutupan kerajaan Amerika Syarikat dan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dengan China.
Setakat jam 8 pagi tadi, ringgit dibuka pada paras 4.2165/2300 berbanding dolar AS, lebih kukuh berbanding penutupan Jumaat lalu pada 4.2240/2275.
Bernama melaporkan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa indeks dolar AS (DXY) masih menunjukkan ketahanan, dengan dagangan berada sekitar 98.532 mata, sedikit menurun berbanding penutupan sebelumnya pada 98.586 mata.

Menurutnya, jangkaan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) sebanyak 0.25 mata asas masih kekal tinggi pada paras 98.9 peratus, walaupun data rasmi yang menyokongnya masih terhad.
“Dari sudut teknikal, ringgit kini berada dalam keadaan terlebih jual, menunjukkan potensi untuk peningkatan nilai,” katanya.
Mohd Afzanizam berpandangan bahawa pergerakan ringgit berbanding dolar AS hari ini dijangka berada dalam julat 4.21 hingga 4.22.
Beliau menambah, kebanyakan pelabur memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping yang bakal berlangsung minggu depan.
“Sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati kerana keputusan China untuk menghentikan pembelian kacang soya dari AS memberi kesan kepada petani di sana. Walaupun pasaran berharap ada perjanjian baharu yang lebih positif, tindakan Trump sukar dijangka,” ujarnya.
Pasaran tempatan kembali beroperasi hari ini selepas ditutup pada Isnin bagi meraikan perayaan Deepavali.
Pada awal dagangan, ringgit dibuka lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama. Mata wang tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6522/6703 daripada 5.6741/6788, mengukuh berbanding euro kepada 4.9110/9267 daripada 4.9421/9462, dan turut menguat berbanding yen Jepun kepada 2.7966/8058 daripada 2.8218/8244 sebelumnya.
Ringgit juga meningkat berbanding mata wang ASEAN lain, termasuk dolar Singapura kepada 3.2595/2702 daripada 3.2635/2665, dan rupiah Indonesia kepada 254.3/255.3 daripada 254.6/254.9. Ia turut naik berbanding peso Filipina kepada 7.25/7.27 daripada 7.26/7.27, namun susut sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.9543/13.0030 daripada 12.9301/9471 sebelumnya.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.