Ringgit Buat Comeback! Keyakinan Pasaran Lonjak Nilai Mata Wang Tempatan

17

Ringgit terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila dibuka kukuh sekitar paras 3.97 berbanding dolar AS serta beberapa mata wang utama lain pada pagi Khamis.

Pengukuhan ini dipacu oleh peningkatan keyakinan pelabur susulan cadangan gencatan senjata selama dua minggu.

Perkembangan tersebut secara tidak langsung mendorong minat pelabur terhadap aset yang lebih berisiko, namun berpotensi menawarkan pulangan yang lebih tinggi.

Seawal jam 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9730/9915 berbanding dolar AS, sedikit lebih baik berbanding 3.9735/9785 yang dicatatkan pada penutupan Rabu.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Indeks Dolar AS (DXY) pula kekal di bawah paras 100, iaitu pada 99.013, susut sekitar 0.85 peratus.

“Hari ini, USD/MYR dijangka kekal dalam jajaran kecil berikutan peniaga dan pelabur terus memantau tahap pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata,” katanya kepada Bernama.

Pada awal dagangan, ringgit mencatatkan pengukuhan berbanding beberapa mata wang utama apabila meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5041/5159 daripada 2.5071/5104 pada Rabu. Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding euro kepada 4.6317/6533 berbanding 4.6407/6465 sebelumnya, serta naik berbanding pound kepada 5.3202/3450 daripada 5.3348/3415.

Namun begitu, prestasi ringgit berbanding mata wang negara ASEAN menunjukkan pergerakan tidak sekata.

Ringgit susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1168/1316 berbanding 3.1155/1199 semalam. Sebaliknya, ia mencatat peningkatan berbanding baht Thailand kepada 12.3769/4427 daripada 12.4056/4282.

Berbanding peso Filipina, ringgit hampir tidak berubah pada 6.68/6.72 berbanding 6.68/6.70 sebelum ini. Sementara itu, pergerakan berbanding rupiah Indonesia juga kecil, dengan kadar pada 233.5/234.7 berbanding 233.5/233.9 sebelumnya.

Sumber : BERNAMA

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.