Minyak Dunia Jatuh Lagi! Rundingan AS–Iran Jadi Punca Harga Tertekan
Harga minyak global terus mencatat penurunan untuk hari kedua berturut-turut apabila pasaran mula menjangkakan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran akan kembali berlangsung. Perkembangan ini dilihat berpotensi membuka semula laluan bekalan minyak dari Asia Barat, khususnya selepas gangguan akibat penutupan Selat Hormuz.
Dalam dagangan awal, kontrak niaga hadapan minyak mentah Brent susut sebanyak 52 sen atau 0.55 peratus kepada AS$94.27 setong sekitar jam 0054 GMT, selepas mencatat kejatuhan 4.6 peratus pada sesi sebelumnya.
Sementara itu, minyak mentah penanda aras Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), turut merekodkan penurunan sebanyak AS$1.04 atau 1.1 peratus kepada AS$90.24 setong, susulan penyusutan lebih ketara iaitu 7.9 peratus sehari sebelum itu.

Menurut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, usaha untuk menghidupkan semula rundingan bagi menamatkan konflik melibatkan AS dan Israel dengan Iran dijangka berlangsung semula di Pakistan dalam tempoh dua hari. Kenyataan itu dibuat selepas rundingan sebelum ini menemui jalan buntu, sekali gus mendorong Washington mengambil tindakan dengan mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.
asal.
Perkembangan terkini itu memberi harapan bahawa rundingan yang bakal disambung semula mampu meredakan ketegangan, sekali gus membolehkan semula aliran bekalan minyak mentah dan bahan api ke pasaran dunia.
Konflik yang berlaku sebelum ini telah menjejaskan operasi di Selat Hormuz, iaitu laluan utama penghantaran minyak dan produk petroleum dari rantau Teluk ke pasaran antarabangsa, terutamanya di Asia dan Eropah.
Walaupun persetujuan gencatan senjata selama dua minggu telah dicapai, keadaan di selat berkenaan masih belum stabil. Pergerakan kapal dilaporkan kekal rendah, dengan jumlahnya jauh berkurangan berbanding kira-kira 130 kapal yang kebiasaannya melalui laluan itu sebelum tercetusnya peperangan, menurut sumber pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, seorang pegawai Amerika Syarikat memaklumkan bahawa kapal pemusnah milik negara itu telah bertindak menghalang dua buah kapal tangki minyak daripada berlepas keluar dari Iran pada Selasa.
“Walaupun tajuk-tajuk diplomatik menunjukkan kemungkinan rundingan AS-Iran disambung semula dan mungkin pelonggaran sementara sekatan transit, realiti fizikal di lapangan masih terpecah-pecah,” kata Schork Group dalam satu nota.
“Hasilnya ialah pasaran terus mengambil kira pilihan risiko gangguan aliran bekalan, bukannya kembali kepada keseimbangan,” katanya.
Bekalan dijangka terus tertekan apabila dua pegawai pentadbiran Amerika Syarikat memaklumkan kepada Reuters bahawa Washington tidak akan melanjutkan pengecualian sekatan selama 30 hari ke atas minyak Iran yang kini berada di laut, yang dijadualkan berakhir minggu ini.
Dalam masa sama, AS turut membiarkan pengecualian sekatan terhadap minyak dari Rusia tamat secara senyap pada hujung minggu lalu, sekali gus menambah tekanan kepada akses bekalan global.
Tumpuan pasaran selepas ini beralih kepada laporan inventori rasmi Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada jam 10:30 pagi waktu tempatan (1430 GMT).
Berdasarkan tinjauan Reuters, stok minyak mentah AS dijangka mencatat peningkatan kecil pada minggu lalu. Sebaliknya, inventori bagi produk distilat dan petrol diramalkan mengalami penyusutan.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber pasaran yang merujuk kepada data Institut Petroleum Amerika (API) memaklumkan bahawa simpanan minyak mentah AS telah meningkat untuk minggu ketiga berturut-turut.
Sumber : Reuters – Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.