Kerajaan Kurang Hutang Baharu! Anwar Jamin Projek Pembangunan Tak Terjejas
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa bayaran hutang negara dilakukan secara berfasa mengikut jadual bagi memastikan agenda pembangunan tidak terganggu.
Menurut Harian Metro, Anwar berkata, selepas menilai keperluan pembangunan semasa, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan pengambilan hutang baharu secara berperingkat.

“Kita boleh menurunkan (hutang) dengan kadar segera tetapi bebannya adalah kepada rakyat. Itu (penurunan hutang) satu keputusan yang perlu diambil.
“Oleh sebab itu, hutang baharu daripada RM100 bilion, kita turunkan kepada RM70-RM75 bilion,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (Bangi–PH), Anwar menolak dakwaan bahawa hutang kerajaan telah melepasi had statutori 65% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan hutang luar negara berada pada tahap membimbangkan.
Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa jumlah pinjaman baharu kerajaan menunjukkan trend menurun kira-kira RM100 bilion pada 2021, RM99 bilion pada 2022, RM92 bilion pada 2023 dan RM77 bilion pada 2024.
Menurutnya, pengurangan itu membuktikan keupayaan kerajaan untuk meneruskan projek asas penting seperti kerja tebatan banjir, pembangunan prasarana, pendidikan, kesihatan dan keperluan utama lain.
“Saya tidak fikir perkara ini harus mengelirukan kerana apabila ada unjuran defisit kita berkurangan, ini bermakna tanggungan hutang itu juga akan berkurangan,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan menunaikan tanggungan hutang mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan.
“Kalau keadaan ini dapat diteruskan secara konsisten oleh kerajaan, hutang kita akan menurun mulai akhir 2028-2029 berdasarkan unjuran kita. Oleh itu, langkah-langkah penurunan defisit mesti disegerakan,” jelasnya.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.