Meskipun berdepan dengan cabaran geopolitik, ekonomi Malaysia masih mencatat pertumbuhan berdaya tahan pada suku kedua, mengatasi negara ASEAN lain termasuk Singapura dan Thailand.
Menerusi laporan Bernama, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku tersebut berikutan permintaan domestik yang kekal mampan, berbanding Singapura pada 4.3 peratus dan Thailand 2.8 peratus.

“Secara keseluruhannya, pertumbuhan KDNK negara telah diunjur mencatat antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada 2025, mengambil kira cabaran ekonomi dan persekitaran global semasa,” kata MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Penjelasan tersebut adalah jawapan kepada persoalan yang diajukan oleh Senator Pele Peter Tinggom mengenai pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua 2025 serta perbandingannya dengan negara-negara ASEAN lain.
Namun begitu, kementerian menjelaskan pertumbuhan Malaysia masih belum mampu untuk mengatasi Vietnam, Filipina dan Indonesia.
Vietnam merekodkan kadar 7.9 peratus sekali gus menjadikannya antara tertinggi di rantau ini, manakala Filipina 5.5 peratus dan Indonesia 5.1 peratus.
Difahamkan, perbezaan kadar pertumbuhan ekonomi antara negara mencerminkan variasi struktur serta pendekatan dasar ekonomi yang diamalkan.
Walau bagaimanapun, Malaysia secara keseluruhannya kekal berdaya tahan, dipacu oleh kerangka Ekonomi MADANI yang inklusif serta seimbang.
Sumber : Bernama
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.