“Bayangkan! Hampir 1/5 Hasil Cukai Hanya Untuk Bayar Faedah Hutang”

44

Malaysia merancang untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus menjelang 2028 melalui proses konsolidasi fiskal yang dilakukan secara bertahap, tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Berita Harian melaporkan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican menjelaskan bahawa langkah tersebut penting untuk memulihkan kemampanan fiskal negara, terutama ketika hutang keseluruhan sudah melebihi RM1 trilion dan bayaran perkhidmatan hutang diunjurkan meningkat kepada RM54 bilion pada 2025 serta RM58 bilion pada 2026.

Foto : NSTP

“Bayangkan, bagi setiap RM1 hasil cukai yang kerajaan kutip, 17 sen digunakan semata-mata untuk membayar faedah hutang. Itu sebabnya kita perlu mengembalikan kawalan kepada disiplin fiskal,” katanya.

Jelas Johan, pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bersama langkah penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95 semakin mengukuhkan imej Malaysia serta keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan.

Difahamkan, langkah reformasi fiskal yang dilaksanakan juga merupakan faktor kepada pengukuhan ringgit, yang setakat ini mencatat kenaikan kira-kira tujuh peratus.

“Kerajaan juga tegas menolak cadangan supaya defisit diturunkan secara mendadak kerana ia boleh menjejaskan perbelanjaan kerajaan dan melemahkan momentum pertumbuhan, terutama dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.

“Pengurangan defisit kita sengaja dibuat secara beransur, daripada 4.1 peratus tahun lalu kepada 3.8 peratus tahun ini dan 3.5 peratus dalam Belanjawan 2026. Jika dilakukan terlalu cepat, ia akan menekan pertumbuhan,” ujarnya.

Pendapat tersebut mendapat sokongan Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC), Lee Heng Guie dengan menekankan bahawa Malaysia perlu terus berdisiplin dalam melaksanakan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur supaya ekonomi negara kekal kukuh ketika dunia dijangka berdepan cabaran lebih besar tahun hadapan.

Beliau menjelaskan bahawa usaha kerajaan mengurangkan defisit secara bertahap bukan sahaja sesuai dengan situasi semasa, tetapi juga penting untuk mengawal tahap hutang negara yang telah meningkat sejak hampir tiga puluh tahun lalu.

“Ringkasnya, rumusan saya terhadap Belanjawan (2026) adalah berhemat tetapi tetap menyokong pertumbuhan. Konsolidasi fiskal mesti diteruskan kerana kita sudah berdepan defisit selama 29 tahun.

“Namun dalam keadaan ekonomi global yang lebih kompleks tahun depan, pendekatan beransur adalah lebih sesuai,” jelasnya.

Menurutnya, usaha kerajaan untuk mengecilkan defisit kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada tahun hadapan selari dengan apa yang dijangka pasaran, sekali gus memastikan ekonomi tidak berdepan sebarang kejutan luar biasa.

Beliau menambah, sasaran defisit 3.0 peratus secara berperingkat membantu mengekalkan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi.

“Yang penting ialah keseimbangan. Konsolidasi fiskal tidak boleh terlalu agresif sehingga menekan ekonomi. Namun, ia juga tidak boleh terlalu perlahan sehingga menghakis kepercayaan,” ujarnya lagi.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.