AirAsia Umum Seragam Baharu, Kru Wanita Kini Boleh Bertugas Dengan Hijab!
AirAsia mengemas kini polisi pakaian seragam kru kabin dengan memberi pilihan kepada kru wanita untuk memakai hijab ketika menjalankan tugas.
Pelaksanaan seragam baharu yang dijangka bermula pada suku pertama 2026, bersempena Ramadan, bertujuan meningkatkan keselesaan dan keyakinan para kakitangan.
Seragam baharu itu mengekalkan warna merah ikonik AirAsia, lengkap dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional, sepertimana seragam kru yang berkhidmat di laluan Jeddah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, penambahbaikan ini mencerminkan perkembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global yang mempunyai tenaga kerja berbilang latar belakang.
“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Suhaila Hassan selaku Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia berkata bahawa Allstars, iaitu kakitangan syarikat, datang daripada pelbagai budaya, kepercayaan dan latar belakang.
“Polisi terkini membuktikan semangat pelbagai dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars kami dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, menyatakan bahawa kekuatan utama AirAsia sentiasa datang daripada Allstars yang hadir daripada pelbagai latar belakang dan membawa pandangan yang berbeza.
“Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting bagi kami untuk menilai.
“Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun. Inilah cara kami berkembang dengan berevolusi bersama berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami,” jelasnya.
Sumber : Malaysiagazette