AirAsia Kembali Terbang! Semua Isu Teknikal Selesai Dalam Tempoh Singkat

38

AirAsia Aviation Group memaklumkan bahawa semua keperluan yang ditetapkan di bawah Arahan Layak Terbang (AD) Kecemasan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) telah berjaya dipenuhi.

Menurut Berita Harian, langkah ini diambil susulan pengeluaran Amaran Transmisi Operator oleh Airbus, yang melibatkan kerja-kerja memuat semula perisian pada keseluruhan armada Airbus A320 Family di rangkaian AirAsia.

Foto : Google

Arahan Kecemasan tersebut diterima sekitar jam 3 pagi semalam (waktu tempatan), dan AirAsia segera mengaktifkan Pelan Kesinambungan Semula Perniagaannya.

Proses pematuhan ini diselesaikan melalui kerjasama rapat antara pelbagai jabatan termasuk kejuruteraan, operasi penerbangan, rangkaian, operasi darat dan pengalaman pelanggan merentasi operasi di Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Kemboja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, menegaskan bahawa keselamatan sentiasa menjadi asas kepercayaan para tetamu terhadap syarikat.

Beliau berkata, pihaknya segera mengambil tindakan menyeluruh bagi memenuhi setiap langkah yang diwajibkan oleh pihak pengawal selia.

“Pasukan kami di seluruh rantau telah digerakkan serta-merta untuk memenuhi semua keperluan kejuruteraan, operasi, keselamatan dan pengalaman pelanggan, supaya tetamu mengalami gangguan sesedikit mungkin. Terima kasih kepada perancangan yang teliti dan koordinasi kukuh di peringkat lkumpulan oleh pasukan kejuruteraan kami — disokong oleh rakan ekosistem, ADE — kerja pematuhan bagi pesawat telah diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Pasukan operasi kami terus berusaha meminimumkan gangguan. Tindak balas menyeluruh ini mencerminkan kecekapan, keutamaan tetamu dan semangat kerja berpasukan yang menjadi identiti AirAsia.

“Kami amat berterima kasih kepada Allstars, pihak pengawal selia dan rakan kerjasama lapangan terbang di seluruh rantau, dan terutama sekali kepada tetamu atas kefahaman dan kerjasama mereka sepanjang kami melaksanakan langkah keselamatan operasi penting ini,” katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia menggalakkan para tetamunya untuk memeriksa status penerbangan terkini melalui aplikasi AirAsia MOVE atau laman web airasia.com/flightstatus.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.