Gelombang Ekonomi Tak Menentu, Rakyat Malaysia Diminta ‘Berjimat’ Mulai Sekarang!
Kerajaan menyeru rakyat agar lebih berdisiplin dalam mengamalkan gaya hidup sederhana, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut merangkumi perancangan perjalanan yang lebih teliti, pengurusan kewangan yang bijak, serta penggunaan tenaga elektrik secara efisien sama ada di rumah mahupun di tempat kerja.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Khas Mengenai Keselamatan Tenaga dan Impak Konflik Asia Barat, yang turut meneliti hasil perbincangan daripada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Konflik di Asia Barat terus memuncak dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat, sekali gus memberi tekanan serta implikasi besar terhadap tenaga, rantaian bekalan dan ekonomi global,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial rasminya.
Menurut Amir Hamzah Azizan, inisiatif yang digerakkan kerajaan bukan sahaja memfokuskan aspek ekonomi, malah turut menitikberatkan kebajikan rakyat serta kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor industri.
Dalam masa sama, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan proaktif dengan berpandukan data semasa dan situasi sebenar. Ini termasuk mendapatkan input daripada pemain industri serta usahawan PKS bagi menangani cabaran krisis tenaga global.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap dasar dan langkah yang dilaksanakan bersifat menyeluruh, seimbang serta memberi impak yang efektif.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.