Ahli ekonomi menjangkakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu menawarkan dividen lebih baik tahun ini susulan lonjakan pendapatan pelaburannya yang meningkat dua angka.
Bagi tempoh sembilan bulan sehingga 30 Sept 2025, KWSP meraih pendapatan pelaburan berjumlah RM63.99 bilion, meningkat 11% berbanding RM57.57 bilion pada tahun sebelumnya.
KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan RM25.07 bilion untuk suku ketiga 2025, meningkat 27% berbanding RM19.67 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku tersebut, ekuiti terus menjadi pemacu utama dengan sumbangan RM16.95 bilion, bersamaan 68% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan.
Menurut laporan Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa peningkatan pendapatan pelaburan itu membuktikan keberkesanan langkah KWSP mempelbagaikan kelas aset dan pasaran yang diterokai.
“Berasaskan pendapatan pelaburan yang lebih baik itu, KWSP boleh memanfaatkan ketidaktentuan pasaran dengan berkesan.
“Ini memerlukan kemahiran dan disiplin memandangkan kejutan pasaran pada awal April 2025 akibat tarif “Hari Pembebasan” yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dengan mudah boleh mengubah minat risiko kepada strategi defensif,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, ketepatan masa dan mutu keputusan pelaburan KWSP sangat mempengaruhi nilai pulangan yang dijana.
“Perkara itu juga menunjukkan KWSP mendapat nasihat yang baik daripada penyelidikan pelaburan dan pengurus dananya yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman,” ujarnya.
Namun, Afzanizam berkata, KWSP masih berdepan risiko pelaburan, khususnya melibatkan saham berkaitan AI yang mudah terjejas sekiranya berlaku pembetulan harga di pasaran global.
“Selain itu, tempoh bagi pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada Disember 2025 kekal sebagai risiko negatif bagi KWSP.
“Jadi prestasi suku keempat akan menjadi faktor utama yang menentukan kadar dividen yang boleh diumumkan tahun depan,” tambahnya lagi.
KWSP pada 1 Mac 2025 memaklumkan bahawa kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah menerima dividen 6.30%, dengan bayaran masing-masing sebanyak RM63.05 bilion dan RM10.19 bilion.
Dengan pengumuman itu, jumlah keseluruhan dividen bagi tahun 2024 mencecah RM73.24 bilion, memberi manfaat kepada lebih 16 juta pencarum.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.