Tinggal Beberapa Hari Lagi! Reneuco Berdepan Risiko Disingkir Dari Bursa

10

Reneuco Bhd kini berkemungkinan digantung dagangan serta disingkirkan daripada senarai bursa selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak permohonan syarikat itu untuk melanjutkan tempoh penyerahan pelan regularisasi.

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, Reneuco memaklumkan bahawa dagangan sekuritinya dijangka dihentikan bermula 14 April 2026, sebelum berdepan risiko penyahsenaraian pada 16 April 2026. Namun, tindakan tersebut boleh dielakkan sekiranya syarikat mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities selewat-lewatnya pada 13 April.

Foto : Berita Harian

“Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities,” katanya.

Reneuco Bhd memaklumkan bahawa sekiranya permohonan rayuan dihantar dalam tempoh yang ditetapkan, proses penyahsenaraian sekuritinya akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan daripada pihak Bursa Malaysia Securities Bhd.

“Bagaimanapun, Bursa Securities akan meneruskan penggantungan dagangan sekuriti syarikat pada 14 April, 2026 walaupun keputusan mengenai rayuan syarikat masih dalam pertimbangan,” katanya.

Reneuco Bhd turut memaklumkan bahawa pihaknya bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd susulan keputusan yang melibatkan penggantungan serta cadangan penyahsenaraian sekuriti syarikat.

Syarikat yang beroperasi dalam sektor pembinaan tenaga dan utiliti itu sebelum ini telah disenaraikan di bawah status PN17 pada Februari 2024. Status tersebut dikenakan selepas juruaudit memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai bukti mencukupi untuk menyokong pembentukan pendapat audit terhadap penyata kewangan kumpulan, khususnya melibatkan ketepatan akaun belum terima, akaun belum bayar, hasil serta kos jualan.

Sumber : BERNAMA

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.