Kisah perjalanan hidup Tan Sri Dr Lim Wee Chai sepanjang lebih 30 tahun menempuhi dunia perniagaan kini didokumentasikan dalam sebuah buku biografi bertajuk ‘Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar’, yang dilancarkan hari ini.
Naskhah setebal 145 muka surat itu menyingkap latar belakang Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) yang bermula dari kehidupan sederhana di Kampung Baru Cina, Titi, Negeri Sembilan, sebelum membina Top Glove sehingga muncul sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di negara ini.

Lim berkata, penerbitan buku berkenaan bertujuan berkongsi pengajaran dan nilai kehidupan hasil pengalaman beliau, selain menjadi sumber dorongan kepada masyarakat untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Apa sahaja ilmu yang kita ada perlu dikongsi bersama masyarakat, kerana perkongsian ilmu bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, malah kepada diri kita sendiri.
“Ilmu yang baik dan bermanfaat tidak sepatutnya disimpan untuk diri sendiri, sebaliknya perlu disebarkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, penguasaan ilmu serta kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan merupakan teras utama bagi membolehkan individu, organisasi dan sesebuah negara menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Tambahnya, keputusan yang dibuat tanpa asas pengetahuan bukan sahaja mengundang implikasi negatif dalam jangka masa panjang, malah boleh menyebabkan seseorang individu menjadi liabiliti kepada sistem yang sedia ada.
“Ilmu pengetahuan sangat penting dalam setiap keputusan yang kita buat. Apabila keputusan dibuat dengan bijaksana, hasilnya juga akan menjadi baik.
“Namun jika keputusan dibuat tanpa kebijaksanaan, kesan buruknya akan menjadi sangat besar,” katanya.
Pelancaran buku ‘Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar’ disifatkan sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan pemikiran yang rasional, berdisiplin serta bertanggungjawab, khususnya ketika membuat keputusan yang mempunyai implikasi jangka panjang.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.