“Robot, AI Pun Tak Mampu Selamatkan” – AA Kongsi Realiti Pahit Dunia Trading

17

Pakar teknikal analisis (TA), Asyraf Arsad (AA SuperScalper) berkata, hampir 90 peratus individu yang terlibat dalam dunia perdagangan gagal menjana keuntungan secara konsisten.

Menerusi perkongsian di Facebook, AA mendedahkan realiti sebenar dunia trading yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Katanya,tak kira sama ada dalam pasaran saham, kripto, forex atau minyak, majoriti trader akhirnya kecundang walaupun menggunakan robot, kecerdasan buatan (AI), atau strategi teknikal yang kononnya mempunyai kadar ketepatan tinggi.

“Bawak la robot ke, AI ke ,TA hollygrail 90% ratio..memang hujung2 kena libas jugak.

“Bergaduh laki bini sebab trading,, habis gaji buat trading,, loan siap along sebab nak kejar profit trade. Kenapa?,” katanya.

AA turut berkongsi kisah bagaimana ada trader sanggup berhutang, malah bergaduh suami isteri kerana kerugian besar dalam perdagangan.

Situasi itu, katanya, berpunca daripada kegagalan memahami risiko sebenar pasaran dan kurangnya pengalaman.

“Lapan tahun saya kaji, kenapa susah sangat nak buat duit dengan trading… dan apa yang saya buat lain sikit dari orang lain. Jawapan dia..pengalaman,” ujarnya lagi.

Menurutnya, pengalaman memainkan peranan besar dalam membentuk disiplin, kawalan emosi, dan kefahaman terhadap analisis teknikal. Ia juga menjadikan seseorang lebih rasional dalam menentukan masa sesuai untuk masuk dan keluar dari pasaran.

AA mengakui, walaupun sudah lama berkecimpung dalam dunia trading, dia masih terus belajar dan tidak menganggap dirinya pakar.

“AA pun tak power mana pun. Kat market bersepah ilmu yang power… tapi saya sedar diri bodoh, hari-hari belajar. Untung syukur, rugi pun syukur,” tambahnya.

Tambahnya lagi, kadar kejayaan dalam dunia trading amat rendah, dimana hanya sekitar 10 peratus yang berjaya kekal konsisten menjana keuntungan.

“Bidang ni, 80-90 peratus orang gagal. Yang berjaya cuma 10 peratus je. Tolong fikir 100 kali dulu kalau nak terjebak jadi trader,” pesannya.

Sebagai penutup, AA menasihatkan bakal trader supaya menuntut ilmu dan mengumpul pengalaman terlebih dahulu sebelum terjun ke dunia sebenar pasaran.

“Cari ilmu dan pengalaman sebelum masuk market. Baca buku banyak-banyak, backtest betul-betul. Bila yakin, baru masuk kecil-kecil. Jangan ulang kesilapan saya dulu,” jelasnya.

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.