RM900 Juta Dari China! Jiangsu Longda Pilih Johor Sebagai Hab Baharu
Pelaburan bernilai RM900 juta oleh Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd menerusi anak syarikatnya, Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd di Johor, dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi canggih.
Bernama melaporkan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat berteknologi tinggi yang beribu pejabat di Shanghai, China itu memainkan peranan strategik dalam rantaian bekalan global bagi industri aeroangkasa, tenaga serta kejuruteraan berat.

“Lebih bermakna, pelaburan ini turut disokong melalui kerjasama strategik bersama-sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk peluang latihan, pembangunan bakat serta tawaran sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan graduan dengan pendedahan latihan di Malaysia dan China.
“Semoga usaha ini membawa manfaat kepada rakyat, membuka masa depan anak muda dan memacu Johor ke hadapan selari dengan aspirasi Maju Johor 2030. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Menurut Onn Hafiz, beliau bersama delegasi Johor telah mengadakan lawatan ke Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd pada 17 Disember lalu, dengan harapan usaha tersebut mampu memastikan anak Johor bukan hanya berperanan sebagai tenaga kerja semata-mata.
Tambah beliau, perbincangan turut memberi tumpuan kepada pembentukan kluster rantaian bekalan industri yang melibatkan rakan-rakan ekosistem strategik.
“Usaha ini dijangka mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas kepada syarikat tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta penyedia perkhidmatan di Johor, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab perindustrian berteknologi tinggi yang berdaya saing.
“Saya yakin usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan berkualiti tinggi, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran anak tempatan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk rakyat Johor,” katanya.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.