Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatat peningkatan kepada AS$124.3 bilion setakat 15 Disember 2025.
Menurut kenyataan BNM pada Isnin, jumlah rizab tersebut memadai untuk menampung pembiayaan import barangan dan perkhidmatan selama 4.8 bulan, selain bersamaan 0.9 kali ganda keseluruhan hutang luar jangka pendek negara.

“Komponen utama rizab tersebut ialah rizab mata wang asing (AS$109.9 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.9 bilion), emas (AS$4.8 bilion), dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion),” katanya.
Jumlah keseluruhan aset direkodkan sebanyak RM610.57 bilion, merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk Hak Pengeluaran Khas (SDR) berjumlah RM523.37 bilion.
Selain itu, aset tersebut turut terdiri daripada kertas kerajaan Malaysia bernilai RM13.42 bilion, pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM28.28 bilion, aset lain berjumlah RM40.02 bilion, tanah, bangunan serta aset tetap lain bernilai RM4.57 bilion, dan deposit dengan institusi kewangan sebanyak RM905.07 juta.
“Jumlah modal dan liabiliti berjumlah RM610.57 bilion, terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM204.29 bilion), mata wang dalam edaran (RM175 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM110.97 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM13.84 bilion), deposit lain (RM65.55 bilion), kertas Bank Negara (RM9.34 bilion), peruntukan SDR (RM27.88 bilion), dan liabiliti lain (RM3.61 bilion),” jelasnya lagi.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.