Ringgit Melonjak Lagi ! Pelabur Tunggu Keputusan Dasar BNM
Ringgit meneruskan prestasi positif dengan dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, seiring penantian pasaran terhadap pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.
Bernama melaporkan, pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2125/2330 daripada 4.2230/2285 semasa penutupan semalam, sementara pasaran menjangka OPR akan dikekalkan pada paras 2.75 peratus oleh BNM.

Menurut Pakar Strategi dan Ekonomi Negara di IPP Wealth Managers, Ltd Mohd Sedek Jantan, BNM dijangka mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini bagi terus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
“Berdasarkan kadar inflasi keseluruhan pada 1.2 peratus dan kadar pengangguran pada 3.0 peratus, pendekatan ini memastikan kestabilan dasar, menyokong permintaan domestik dan mengekalkan keadaan monetari yang akomodatif tanpa menambah tekanan inflasi.
“Petunjuk makroekonomi terkini juga menunjukkan daya tahan, dengan eksport pada Julai mencatatkan pertumbuhan positif sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap sektor luaran Malaysia,” katanya, hari ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata laporan Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Jumlah Tenaga Kerja (JOLTS) Amerika Syarikat (AS) bagi Julai menurun kepada 7.181 juta, lebih rendah daripada anggaran 7.38 juta.
Tambahnya lagi, perkembangan tersebut sekali gus meningkatkan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada September.
“Keadaan itu juga menyebabkan majikan lebih berhati-hati untuk menambah tenaga kerja masing-masing ekoran unjuran ekonomi yang lemah.
“Oleh yang demikian, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh,” ujarnya.
Afzanizam turut memaklumkan, ringgit ditutup 0.13 peratus lebih tinggi pada 4.2257 berbanding dolar AS semalam, dengan jangkaan dagangan hari ini berada dalam lingkungan 4.21 hingga 4.23.
Sekadar info, AS dijadual mengumumkan laporan pembayaran gaji bukan ladang pada Jumaat.
Sumber : Bernama
Penafian: Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.