Produk Ini Dijangka ‘Meletup’ Pada 2026
Tahun 2026 dijangka membawa perubahan besar dalam corak permintaan pengguna. Produk yang mendapat perhatian bukan lagi terhad kepada barangan asas semata-mata, sebaliknya semakin didorong oleh teknologi, kesihatan dan produk yang menawarkan nilai tambah.
Berdasarkan pemerhatian terhadap trend global serta data jualan dari 2024 hingga 2025, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata beberapa kategori produk menunjukkan permintaan yang konsisten dan dijangka terus mencatat prestasi kukuh dalam tempoh setahun dua akan datang.

Perubahan ini banyak dipengaruhi oleh gaya hidup bandar yang semakin pantas, tahap kesedaran kesihatan yang kian meningkat serta kebergantungan pengguna terhadap peranti teknologi dalam kehidupan seharian.
Dalam segmen elektronik dan gajet, produk seperti telefon pintar, fon telinga tanpa wayar, jam pintar dan pengecas masih kekal sebagai pilihan utama pengguna. Peralatan rumah seperti pembersih vakum dan penggoreng udara juga terus mencatat jualan memberangsangkan, didorong oleh kitaran naik taraf teknologi yang pantas dan kemunculan produk baharu di pasaran.
Pada masa sama, sektor fesyen turut menunjukkan prestasi positif. Pakaian sederhana dan Muslim seperti hijab dan baju kurung kekal mendapat sambutan, khususnya ketika musim perayaan apabila permintaan meningkat ketara.
Trend penjagaan diri pula semakin mengukuh. Produk kesihatan dan penjagaan peribadi termasuk penjagaan kulit, kosmetik halal dan suplemen terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna yang semakin mementingkan kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang.
Bagi pasaran eksport, produk elektrik dan elektronik (E&E) masih menjadi tulang belakang perdagangan negara. Pada September 2025, nilai eksport E&E mencecah RM65.14 bilion, menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan eksport Malaysia dan mencatat peningkatan hampir 20 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Selain itu, eksport jentera dan peralatan industri mencatat pertumbuhan dua digit, manakala instrumen optik dan saintifik termasuk peranti perubatan serta alat ketepatan menunjukkan peningkatan yang stabil.
Eksport makanan terproses pula dijangka terus berkembang secara konsisten. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, nilai eksport kategori ini mencecah RM13.16 bilion, mencerminkan sifatnya sebagai barangan keperluan yang lebih stabil dan mudah diramal.
Produk berasaskan getah, khususnya sarung tangan perubatan, serta turunan minyak sawit juga kekal sebagai penyumbang penting kepada eksport negara, dengan nilai eksport produk sawit menghampiri RM103 bilion sepanjang Januari hingga November 2025.
Menjelang 2026, permintaan global terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan automasi dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan industri. Sektor semikonduktor yang menyumbang sekitar 40 peratus eksport E&E negara mencatat pertumbuhan antara 15 hingga 17 peratus pada 2025, dipacu oleh permintaan cip AI, pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Malaysia kini mengekalkan kedudukan sebagai antara enam pemain utama dunia dalam industri semikonduktor, disokong oleh pelaburan berterusan syarikat teknologi global.
Dalam masa sama, produk halal, makanan terproses serta segmen kesihatan dan kesejahteraan dijangka terus mencatat permintaan kukuh. Sebagai hab halal global, Malaysia menikmati pertumbuhan eksport sekitar 8 hingga 12 peratus setahun, didorong oleh keyakinan terhadap pensijilan JAKIM dan peningkatan populasi Muslim di peringkat global.
Namun begitu, prospek positif ini hadir bersama cabaran yang nyata. Pengilang masih berdepan tekanan kos bahan mentah yang tidak menentu, peningkatan kos operasi, kekurangan tenaga kerja mahir serta akses pembiayaan yang terhad, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana.
Faktor luaran seperti ketegangan geopolitik, turun naik harga tenaga dan dasar monetari yang lebih ketat turut menambah ketidaktentuan dalam persekitaran perniagaan.
Bagi mengekalkan daya saing, Jacob menegaskan pengilang perlu memberi tumpuan kepada kawalan kos, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memperluas penggunaan automasi, di samping memanfaatkan pelbagai insentif kerajaan di bawah pelan perindustrian negara.
Secara keseluruhan, gabungan produk berteknologi tinggi dan segmen bernilai tambah dijangka terus menjadi tunjang permintaan terhadap produk Malaysia pada 2026, walaupun berdepan persekitaran global yang semakin mencabar.
Sumber : Sinar Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.