PETRONAS Mula Hasilkan LNG Kedua Di Kanada, Projek Bernilai Bilion Kini Beroperasi Penuh!

79

LNG Canada telah mula menghasilkan gas asli cecair (LNG) di fasiliti keduanya yang dikenali sebagai Train 2, menandakan satu lagi langkah penting dalam pembangunan projek tenaga utama di Kitimat, British Columbia.

Menurut jurucakap syarikat tersebut kepada Reuters, projek yang dikendalikan oleh Shell di Kitimat, British Columbia itu kini menyaksikan kedua-dua unit pemprosesannya yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 6.5 juta tan setahun serta beroperasi sepenuhnya.

Foto : Reuters

LNG Canada ialah kemudahan eksport LNG pertama di Kanada dan pantai barat Amerika Utara yang membolehkan penghantaran terus ke pasaran Asia, sebuah pasaran terbesar bagi bahan api tersebut.

Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan itu dianggarkan dapat mengendalikan kira-kira dua bilion kaki padu gas sehari.

Difahamkan, LNG Canada, yang pembinaannya mengambil masa hampir tujuh tahun untuk disiapkan kini berjaya melakukan penghantaran kargo pertamanya pada 30 Jun lalu.

Walau bagaimanapun, beberapa masalah teknikal telah menyebabkan proses meningkatkan kapasiti operasi mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan kebanyakan penganalisis.

Jurucakap itu memaklumkan bahawa penghantaran LNG ke-22 telah berlepas dari kemudahan LNG Canada semalam untuk dihantar ke pasaran luar negara.

Para penganalisis pasaran pula menjangkakan bahawa pengoperasian Train kedua ini akan merangsang permintaan baharu, sekali gus membantu mengurangkan lebihan bekalan gas asli dalam simpanan di Kanada Barat dan berpotensi mendorong kenaikan harga.

Projek LNG Canada dibangunkan melalui kerjasama antara beberapa syarikat utama, termasuk Shell, PETRONAS, PetroChina, Mitsubishi Corp dari Jepun, serta KOGAS dari Korea Selatan.

Pada bulan lepas, syarikat LNG MidOcean yang disokong oleh EIG dan Saudi Aramco mengumumkan hasrat untuk mengambil alih 20 peratus pegangan milik PETRONAS dalam usaha sama yang memegang 25 peratus kepentingan dalam projek LNG Canada.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.