Pelabur Asing Catat Aliran Keluar RM1.03 Bilion Dari Bursa Malaysia Minggu Lalu

16

Pelabur asing kembali melepaskan pegangan ekuiti di Bursa Malaysia, berbeza dengan minggu sebelumnya apabila mereka menjadi pembeli. Menurut MBSB Research, jumlah aliran keluar bersih mencecah RM1.03 bilion.

Menurut portal DagangNews, firma itu menjelaskan bahawa pelabur asing mencatatkan jualan bersih hampir setiap hari dagangan, kecuali pada hari Isnin yang merekodkan aliran masuk kecil berjumlah RM17.6 juta.

Foto : The Edge Malaysia

Hari Selasa mencatatkan jumlah pelupusan tertinggi dengan nilai RM458.5 juta. Jumaat pula menyusul dengan RM377.7 juta, manakala Rabu merekodkan jualan sebanyak RM204.1 juta. Pada hari Khamis, jumlah jualan jauh lebih kecil iaitu hanya RM11.1 juta.

“Hanya dua sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perladangan (RM148.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM79.6 juta),” kata MBSB Research dalam notanya.

Tiga sektor lain yang turut mencatatkan aliran keluar bersih asing terbesar ialah sektor perkhidmatan & produk industri (RM377.2 juta), utiliti (RM254.4 juta) dan telekomunikasi serta media (RM106.3 juta).

Sementara itu, MBSB Research menjelaskan bahawa institusi tempatan kembali aktif membeli, dengan jumlah aliran masuk bersih mencecah RM1.01 bilion.

MBSB Research turut memaklumkan bahawa pelabur runcit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua, dengan aliran masuk bernilai RM28.1 juta.

Purata nilai dagangan harian (ADTV) menunjukkan prestasi bercampur, dengan aktiviti peruncit tempatan sedikit menurun sebanyak 0.3%. Sebaliknya, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat peningkatan, masing-masing naik 2.3% dan 16.8%.

Sumber : DagangNews

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.