Naik Harga Bermula 2026? Ini Senarai Perubahan Pas Perjalanan Rapid KL

29

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melaksanakan pelarasan harga bagi beberapa pas perjalanan Rapid KL berkuat kuasa 1 Januari 2026, susulan peningkatan kos operasi serta peluasan rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam.

Pelarasan tersebut merupakan semakan harga pertama oleh pengendali pengangkutan awam itu sejak 2009, yang bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan yang lebih mampan dan stabil dalam jangka panjang.

Foto : Google

Menurut Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan, Ashok Panchalingam, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira hasil kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan penumpang serta peningkatan kos penyelenggaraan yang terus meningkat dari tahun ke tahun.

“Walaupun terdapat pelarasan harga, pas perjalanan Rapid KL kekal menawarkan nilai terbaik kepada pengguna harian menerusi penjimatan konsisten dan akses mobiliti tanpa had yang telah dipertingkatkan kualitinya.

“Transformasi rangkaian rel dan bas Rapid KL kini jauh lebih komprehensif berbanding sedekad lalu dengan pembukaan Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya, selain penambahan laluan bas serta kekerapan perkhidmatan yang lebih efisien,” katanya dalam kenyataan.

Selari dengan pelaksanaan pelarasan harga tersebut, Prasarana turut melancarkan produk baharu dikenali sebagai Rapid Bulanan, iaitu pas 30 hari bernilai RM150 yang membolehkan perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan rel dan bas, terbuka kepada warganegara serta bukan warganegara.

Sementara itu, bagi pas sedia ada di bawah kategori Rapid Kota yang dikhususkan kepada warganegara, kadar baharu ditetapkan pada RM10 bagi Pas 1 Hari dan RM25 bagi Pas 3 Hari, manakala Pas 2 Hari akan dihentikan penawarannya bermula tarikh pelaksanaan pelarasan tersebut.

Bagi kategori Rapid Kembara, Prasarana menetapkan kadar baharu sebanyak RM25 untuk Pas 1 Hari dan RM55 bagi Pas 3 Hari, manakala penawaran Pas 2 Hari bagi kategori tersebut akan dihentikan.

Dalam perkembangan berkaitan, pas Rapid Keluarga yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia turut disemak dengan kadar baharu RM30, berkuat kuasa bermula awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, dasar berkaitan Rapid Pelajar turut disemak apabila permohonan baharu mulai 1 Januari 2026 hanya dibuka kepada pelajar warganegara.

Namun, pelajar bukan warganegara sedia ada masih layak menikmati diskaun 50 peratus sehingga pas masing-masing tamat tempoh atau selewat-lewatnya 31 Disember 2026.

Difahamkan juga, pengguna setia perkhidmatan pengangkutan awam tidak terkesan apabila pas My50 serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra dikekalkan tanpa sebarang pelarasan harga, selaras dengan komitmen Prasarana untuk memastikan perkhidmatan yang inklusif dan mampu milik.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.