MMC Ports Dapat ‘Green Light’, Bakal Gegarkan Bursa Malaysia

13

MMC Ports Holding Bhd (MMC) sah akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd setelah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Memetik laporan Bernama, syarikat itu menerusi IPO, bakal mengeluarkan tawaran sehingga 4.3 bilion saham, iaitu sekitar 30 peratus daripada keseluruhan modal saham terbitan berjumlah 14.2 bilion saham.

Sebanyak 284.8 juta daripada 4.3 bilion saham tersebut diperuntukkan kepada pelabur awam tempatan, sementara 1.3 juta saham lagi ditawarkan khusus kepada pengarah dan barisan pengurusan kanan syarikat.

“Baki sehingga empat bilion saham itu akan diperuntukkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing serta pelabur terpilih,” kata pengendali pelabuhan kontena terbesar di Malaysia itu pada hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menjelaskan bahawa syarikat berkenaan bersedia memasuki fasa baharu dalam perjalanan korporatnya, sekali gus melihat langkah ke pasaran modal sebagai perkembangan semula jadi untuk meningkatkan profil syarikat dan memperluas keterlihatan dalam kalangan pelabur.

“Kami juga sedang meninjau peluang pengembangan secara tidak organik melalui usaha strategik dan perkongsian bagi mengambil peluang daripada peningkatan perdagangan global serta pemindahan aktiviti pembuatan, hab pengedaran serantau dan penyusunan semula rantaian bekalan global,” katanya.

Difahamkan, IPO tersebut dikendalikan oleh CIMB Investment Bank Bhd selaku penasihat utama, penyelaras global, penyelaras, penaja jamin pengurus tunggal dan penaja jamin bersama, dengan Hongkong and Shanghai Banking Corporation Ltd (HSBC) Singapura sebagai penyelaras global bersama dan penyelaras bersama.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info kewangan dan info semasa, sertai saluran Telegram kami di sini :

https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1