Medan Minyak dan Gas Dunia ‘Mengering’ ? IEA Dedah Pengeluaran Semakin Merosot
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mendedahkan bahawa pengeluaran minyak dan gas dari medan matang diseluruh dunia kini merosot lebih cepat, sekali gus mendorong kebergantungan yang semakin tinggi terhadap sumber baharu seperti syal dan projek luar pesisir dalam.
Berita Harian melaporkan, keadaan tersebut telah memaksa banyak syarikat tenaga melabur lebih besar demi mengekalkan paras pengeluaran sedia ada.

Sementara itu, IEA yang berperanan sebagai penasihat kepada negara-negara perindustrian turut berdepan kritikan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan peralihan terbarunya yang lebih menekankan dasar tenaga bersih.
Difahamkan, pada tahun 2021, IEA menegaskan bahawa pelaburan baharu dalam projek minyak, gas dan arang seharusnya diteruskan jika dunia benar-benar komited untuk capai matlamat iklim.
Menurut laporan yang dikeluarkan sejak semalam, IEA memberi amaran bahawa kegagalan mengekalkan pelaburan dalam medan sedia ada menyebabkan dunia kehilangan pengeluaran minyak setara dengan jumlah Brazil dan Norway setiap tahun, sekali gus mengancam kestabilan pasaran dan keselamatan negara.
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol berkata, hampir 90 peratus pelaburan huluan minyak dan gas setiap tahun digunakan untuk mengimbangi kehilangan bekalan daripada medan sedia ada, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan bagi memenuhi peningkataan permintaan.
“Kadar kemerosotan merupakan isu utama dalam sebarang perbincangan mengenai keperluan pelaburan dalam minyak dan gas, dan analisis baharu kami menunjukkan bahawa kadar ini telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Berdasarkan data daripada kira-kira 15,000 medan minyak dan gas di seluruh dunia, IEA menyatakan bahawa selepas mencapai kemuncak pengeluaran, purata penurunan tahunan dalam pengeluaran ialah 5.6 peratus bagi medan minyak konvensional, dan 6.8 peratus bagi medan gas konvensional,” tambahnya.
Jelasnya lagi, tanpa pelaburan huluan, bekalan minyak dunia dijangka merosot sebanyak 5.5 juta tong sehari setiap tahun, berbanding kurang daripada empat juta tong sehari pada 2010.
Bagi gas asli pula, penurunan turut meningkat kepada 270 bilion meter padu setahun, berbanding hanya 180 bilion meter padu sebelum ini.
Sumber : Berita Harian
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.