LRT Shah Alam Semakin Hampir Beroperasi, 5 Tren Lulus Ujian Tanpa Gagal!

21

Projek pembinaan LRT Laluan Shah Alam menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila lima daripada 22 set tren yang dirancang telah berjaya menamatkan ujian operasi tanpa sebarang kegagalan setakat ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana Malaysia Bhd, Dr Prodyut Dutt, kesemua tren berkenaan tergolong dalam Kumpulan 1 dan mencatat prestasi pergerakan yang lancar serta konsisten sepanjang tempoh pengujian. Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah lagi set tren daripada kumpulan sama kini sedang menjalani peringkat terakhir ujian sebelum disahkan sepenuhnya.

Foto : NSTP

“Sebanyak lapan set tren dalam Kumpulan 2 pula berada pada peringkat akhir pengujian dan dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat menjelang 2 Februari 2026.

“Selepas keseluruhan proses pengujian bagi Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 selesai, pihak kontraktor mempunyai tempoh tujuh hari untuk mengemas kini serta menambah baik perisian dan pengoperasian sistem,” katanya pada sidang media mengumumkan perkembangan terkini LRT Laluan Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa fasa ujian fault-free run (FFR) bagi Kumpulan 3, yang merangkumi lapan set tren terakhir, akan dilaksanakan seterusnya dan disasarkan untuk diselesaikan sepenuhnya menjelang 28 Februari 2026.

“Selepas itu, kesemua 22 set tren akan melalui Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA) bagi memastikan kesiapan tren mematuhi Skim Kereta Api dan dokumen Cadangan Teknikal untuk tujuan pengoperasian yang selamat,” katanya.

Ujian fault-free run (FFR) dilaksanakan sebagai proses penyelarasan menyeluruh yang menggabungkan operasi sistem isyarat dan komunikasi, pergerakan set tren (LRV) serta kawalan operasi pusat.

Sebagai langkah penting ke arah pelesenan, penilaian PCA menjadi keperluan asas sebelum permohonan Lesen Pengendali Rel dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Selepas itu, pengendali akan menjalankan ujian operasi secara percubaan sebagai persediaan terakhir sebelum laluan tersebut memulakan perkhidmatan sepenuhnya kepada orang ramai.

Dari segi kemajuan pembinaan, Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah diperoleh sepenuhnya pada akhir Disember 2025. Dalam masa sama, proses PCA oleh APAD telah diselesaikan di 51 daripada 52 lokasi yang ditetapkan, manakala satu lokasi selebihnya masih melibatkan komponen struktur guideway.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.