Klinik Merkel Sunway Velocity Pecah Rekod Malaysia Book of Records!
Yakin Splendour Global Holdings Berhad terus mengukuhkan pengaruhnya dalam industri bioteknologi tempatan apabila anak syarikatnya, Klinik Merkel di Sunway Velocity, berjaya mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBR) sebagai ‘Most MSC Stem Cells Treatment Sold in a Month’.
Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil gabungan strategi pemasaran yang kemas, pembangunan jenama yang kukuh, serta inisiatif sesi penerangan kepada orang ramai yang berjaya meningkatkan kesedaran tentang manfaat rawatan regeneratif.

Usaha tersebut turut membuka lebih banyak peluang untuk masyarakat mendapatkan rawatan berasaskan teknologi sel stem dengan lebih mudah.
Dengan pengiktirafan ini, Klinik Merkel kini muncul sebagai klinik perubatan regeneratif pertama di Malaysia yang mencapai pencapaian tersebut, mengangkat nama Yakin Splendour Global Holdings Berhad sebagai salah satu pemain utama dalam bidang teknologi sel stem di negara ini.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yakin, Patrick Tan, menegaskan bahawa matlamat utama syarikat adalah memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat teknologi kesihatan berasaskan bioteknologi.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan hanya tentang mencipta rekod, tetapi menjadi bukti jelas bahawa masyarakat semakin yakin dan menerima teknologi rawatan sel stem yang dibangunkan oleh syarikat.
“Ini satu pengesahan terhadap misi kami untuk menjadikan perubatan regeneratif lebih mudah diakses orang ramai dan ia juga mengangkat usaha pasukan kami yang bertahun-tahun mendidik dan berkhidmat kepada komuniti,” katanya kepada media di majlis pengiktirafan MBR di sini, hari ini.
Tan turut menyatakan bahawa optimisme beliau terhadap pasaran dalam negara dipengaruhi oleh kemajuan pesat industri sel stem di Amerika Syarikat, China dan Jepun, yang ketika ini giat melabur dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi tersebut.
“Teknologi sel stem bakal menjadi antara teknologi paling signifikan mengubah kehidupan manusia sama seperti kecerdasan buatan (AI) yang menjadi sebahagian hidup kita, pembangunan dan kultur sel akan menjadi tunjang penting dalam penjagaan kesihatan,” tambahnya lagi.
Menurutnya, trend rawatan moden kini semakin bergerak ke arah penggunaan sel stem yang berfungsi menguatkan sistem imun dan membantu tubuh pulih secara semula jadi, berbanding bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan tradisional.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, pasaran Yakin Group di Malaysia masih kecil, sekitar dua hingga tiga peratus sahaja, kerana rawatan berasaskan sel stem masih dianggap berharga tinggi dan lebih mudah dicapai oleh golongan berpendapatan tinggi.
“Walaupun kecil, pertumbuhan tahunannya sekitar 18 peratus. Malaysia pula belum mempunyai banyak makmal standard atau kepakaran mencukupi disebabkan itu saya melihat masa depan industri ini sangat besar bernilai sehingga trilion dolar,” jelasnya.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.