Kerajaan Salur RM4 Bilion Tambahan, Bayaran Balik Cukai Kini Hampir Selesai
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM4 bilion bagi bayaran balik lebihan cukai, dan keseluruhan jumlah itu kini telah selesai diproses serta dikreditkan dalam tempoh antara 9 hingga 24 Disember 2025, melibatkan sebanyak 110,074 kes.
Sehingga 24 Disember 2025, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) merekodkan jumlah bayaran balik cukai sebanyak RM19 bilion yang telah diproses, membabitkan 3,632,003 kes secara keseluruhan.

Daripada jumlah tersebut, RM15 bilion telah dibayar sepanjang tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2025, manakala baki RM4 bilion lagi disalurkan dalam tempoh 9 hingga 24 Disember lalu susulan peruntukan tambahan yang diluluskan.
Menurut LHDNM, dana tambahan RM1 bilion yang pertama telah digunakan bagi menyelesaikan sepenuhnya tunggakan bayaran balik cukai yang melebihi tempoh tiga tahun, tanpa mengira nilai amaun terlibat.
Sementara itu, baki peruntukan RM3 bilion seterusnya dimanfaatkan untuk memproses bayaran balik cukai berusia antara dua hingga tiga tahun, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“LHDNM menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDNM adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul. Selanjutnya juga, tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai
mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
LHDNM memaklumkan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan proses bayaran balik secara berperingkat dan tersusun, dengan mengambil kira keutamaan berdasarkan jumlah bayaran balik, selain memberi penekanan khusus kepada amaun tertunggak yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sumber : Malaysia Gazette
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.