IOI Corp Dalam Bahaya, Berisiko Hilang Tempat Dalam Indeks Utama FBM KLCI

32

IOI Corporation Bhd berdepan risiko digugurkan daripada senarai 30 saham utama FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI selepas gagal memenuhi syarat kecairan untuk tiga bulan berturut-turut, menurut laporan MBSB Investment Bank Bhd.

Menurut Berita Harian, MBSB Investment Bank dalam laporan penyelidikannya berkata, semakan separuh tahun bagi indeks utama dijangka tidak menunjukkan sebarang perubahan besar pada Disember ini.

Foto : The Malaysian Reserve

Namun difahamkan, sekiranya IOI Corp terus gagal memenuhi kriteria kecairan pada bulan November, kedudukannya berpotensi digantikan oleh Westports Holdings Bhd.

Bank pelaburan itu turut memaklumkan bahawa IOI Corp merupakan satu-satunya syarikat dalam indeks berkenaan yang tidak lulus ujian kecairan selama tiga bulan berturut-turut iaitu pada Jun (0.038 peratus), Julai (0.031 peratus) dan Ogos (0.036 peratus) — berbanding paras minimum yang ditetapkan sebanyak 0.040 peratus.

Menurut garis panduan FTSE, setiap saham dalam indeks perlu mencapai tahap kecairan minimum dengan mencatat perolehan median bulanan sekurang-kurangnya 0.040 peratus bagi sekurang-kurangnya lapan daripada 12 bulan.

Pada masa sama, tiada syarikat tersenarai ketika ini mencatat perubahan ketara dalam nilai permodalan pasaran hingga melepasi atau jatuh di bawah paras ambang yang ditetapkan.

Jelasnya lagi, sesuatu saham layak dimasukkan ke dalam indeks sekiranya berada di kedudukan ke-25 atau lebih tinggi, manakala akan digugurkan jika jatuh ke tangga ke-36 atau lebih rendah.

Setakat semalam, daripada 40 saham utama yang dinilai, semuanya memenuhi syarat pegangan bebas melebihi 15 peratus.

Namun, tiga saham bukan konstituen iaitu Hong Leong Financial Group, KLCCP Stapled Group dan Fraser & Neave Holdings masih tidak mencapai tahap kecairan minimum yang ditetapkan.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.