Harga Emas Naik, Untung Poh Kong Meletup pada Suku Pertama

12

Poh Kong Holdings Bhd melaporkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 31 Oktober 2025, dengan keuntungan bersih melonjak kepada RM39.61 juta berbanding RM21.34 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil kumpulan turut mencatat peningkatan kepada RM439.94 juta daripada RM329.28 juta sebelum ini, didorong oleh permintaan yang lebih memberangsangkan terhadap barangan kemas berasaskan emas dan produk pelaburan emas, selain disokong kenaikan harga logam berharga tersebut.

Foto : Google

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM18.27 juta adalah hasil sumbangan jualan yang lebih tinggi serta trend harga emas yang terus meningkat.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa segmen runcit kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan keseluruhan.

Berhubung prospek, syarikat itu berpandangan industri barang kemas emas di Malaysia terus mencatat pertumbuhan yang positif serta menunjukkan daya tahan yang kukuh tahun ini, disokong oleh permintaan yang mampan daripada pasaran domestik dan antarabangsa.

“Pasaran barang kemas berpotensi untuk terus berkembang dan kami menjangkakan trend kenaikan harga emas akan berterusan sehingga 2026.

“Walaupun terdapat faktor seperti inflasi dan turun naik nilai mata wang, kami percaya pembelian kukuh oleh bank pusat, perbelanjaan pengguna dan permintaan aset selamat yang meningkat di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik global akan terus menyokong permintaan untuk barang kemas dan produk pelaburan emas,” katanya.

Kumpulan itu memaklumkan akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa terhadap operasinya, di samping memastikan semua komitmen kewangan dipatuhi serta menilai prestasi Poh Kong secara berterusan.

“Sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan yang di luar jangka, lembaga pengarah yakin kumpulan telah melaksanakan langkah-langkah yang mencukupi untuk menghadapi cabaran pada tahun kewangan yang berakhir 31 Julai 2026,” tambahnya.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.