Harga Emas ‘Menggila’, Barang Kemas Naik 25% Dalam Setahun!

74

Harga barang kemas dan jam tangan meningkat sebanyak 25.4 peratus pada September berbanding tahun lalu, sekali gus menjejaskan kemampuan isi rumah untuk berbelanja bagi simpanan dan acara sosial seperti perkahwinan.

Laporan ekonomi terkini oleh CGS International menjelaskan, kenaikan mendadak itu didorong oleh peningkatan ketara harga emas di pasaran global sejak beberapa bulan lalu.

Memetik laporan Berita Harian, pada September 2025, harga emas purata dilaporkan mencecah AS$3,668 seauns melonjak 42.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan naik 8.7 peratus berbanding Ogos.

Foto : Google

CGS International turut memberi peringatan bahawa harga emas yang kekal tinggi berpotensi menjadi faktor utama tekanan kos terhadap barangan peribadi.

Firma itu menjangka trend kenaikan akan berterusan pada Oktober, dengan harga semasa sudah hampir mencecah AS$4,071 seauns.

Peningkatan harga barang kemas juga dilaporkan menyumbang kepada kadar inflasi utama negara yang mencapai 1.5 peratus pada September 2025.
Selain barangan bernilai tinggi, kos keperluan asas turut menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh, harga telur ayam naik 4.0 peratus pada September berbanding bulan sebelumnya susulan penamatan subsidi penuh pada 1 Ogos.

Menurut semakan CGS International, harga bagi sepapan telur gred A (30 biji) kini berada pada paras sekitar RM14.10.

Pada masa yang sama, semakan semula tarif air di enam negeri dan wilayah persekutuan, termasuk Selangor dan Kuala Lumpur, turut mendorong peningkatan 7.8 peratus bagi subkomponen bekalan air.

CGS International meramalkan kadar tarif air akan terus berada pada paras tinggi untuk tempoh 11 bulan mendatang disebabkan oleh faktor kesan asas.

Dalam masa sama, perbelanjaan penjagaan kesihatan juga kekal meningkat, dengan insurans kesihatan mencatat kenaikan tahunan sebanyak 14.7 peratus sejak Julai.

Susulan pelbagai tekanan harga, khususnya akibat lonjakan harga emas di pasaran dunia, CGS International menjangka kadar inflasi keseluruhan bakal memuncak menjelang Januari 2026.

Sumber : Berita Harian


Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.