“Hanya 58% Yakin Duit Pencen Cukup”- Majoriti Rakyat Malaysia Belum Sedia untuk Persaraan
Meskipun ramai mengimpikan persaraan yang stabil dan bebas tekanan, laporan Ketahanan Kewangan dan Jangka Hayat 2025 oleh Manulife menunjukkan hanya 58% rakyat Malaysia yakin simpanan mereka memadai.
Oleh sebab itu, hanya sekitar 6% yang benar-benar melihat persaraan sebagai fasa rehat sepenuhnya tanpa perlu mencari pendapatan sampingan.
Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa 94% rakyat Malaysia menjangkakan mereka masih perlu bekerja ketika usia lanjut. Namun, kira-kira separuh berharap dapat terus bekerja dalam tempo lebih santai dengan keseimbangan hidup yang lebih baik.

Difahamkan, rakyat di Malaysia dilihat masih sangat bergantung pada tunai sebagai pelaburan utama dengan separuh daripada pelaburan bukan hartanah disimpan dalam bentuk tunai. Pilihan seterusnya ialah produk insurans simpanan atau anuiti, diikuti unit amanah.
“Ramai masih ragu untuk melabur dalam ekuiti kerana takut risiko dan kerugian, walaupun lebih separuh mengakui perlunya mengalihkan tunai kepada pelaburan berpotensi lebih tinggi,” menurut laporan itu.
Walaupun hartanah masih dilihat sebagai aset yang bernilai, peranannya sebagai pelaburan utama semakin berkurang. Lebih ramai rakyat kini memilih skim pencen sebagai pelindung masa depan berbanding bergantung sepenuhnya pada hartanah.
Malah, lebih separuh percaya bahawa memiliki hartanah boleh mengurangkan jumlah simpanan persaraan mereka, khususnya disebabkan kos penyelenggaraan tinggi dan keadaan pasaran yang tidak menentu.
Menariknya, 62% pula memilih untuk melabur dalam instrumen berpendapatan tetap sebagai cara menjamin aliran pendapatan yang lebih stabil semasa bersara dan memberi perlindungan terhadap inflasi.
Selain itu, 72% rakyat Malaysia dilaporkan menggunakan khidmat perancang kewangan, di mana angkanya melebihi purata serantau termasuk Hong Kong.
Ketua Persaraan Asia Manulife, Calvin Chiu turut menjelaskan bahawa peningkatan jangka hayat kini mendorong masyarakat Asia untuk menilai semula pendekatan mereka terhadap persaraan.
“Mereka mahu hidup bukan sekadar lebih lama, tetapi lebih baik — dengan kebebasan kewangan, kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.
Laporan berkenaan turut mendapati bahawa kebanyakan masyarakat Asia lebih menitikberatkan kualiti hidup, bulan semata-mata usia yang panjang.
Kurang daripada 10% menyatakan mereka mahu hidup lama tanpa mengambil kira kesihatan atau kemampuan. Sementara itu, sekitar separuh menekankan keperluan untuk menjalani hidup yang bermakna manakala lebih satu pertiga pula tidak mahu menyusahkan sesiapa apabila sudah berusia.
Di peringkat Asia, semakin ramai menyedari kaitan rapat antara kewangan dan kesihatan dengan 75% percaya keadaan kewangan memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal dan mental.
Malah, 85% berpendapat situasi kewangan turut menentukan tahap kesihatan mentak ketika persaraan.
Secara tidak langsung, ia telah menunjukkan kehidupan yang lebih memerlukan strategi perancangan menyeluruh, bukan sekadar bergantung pada simpanan.
Chiu turut menekankan bahawa untuk menjalani persaraan dengan lebih teratur dan bermaruah, masyarakat Asia perlu mengubah mindset, bukan hanya menabung, tetapi merangka pelan yang sesuai dengan jangka hayat yang semakin panjang.
“Dengan cabaran kos sara hidup, inflasi, serta jangka hayat yang semakin meningkat, masa depan persaraan rakyat Malaysia bergantung pada keberanian untuk berubah iaitu lebih berilmu, lebih terancang, dan lebih bersedia untuk menikmati kehidupan selepas bekerja,” ujarnya.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.