Genting Catat Kerugian RM11.56 Juta! Apa Sebenarnya Berlaku Pada Tahun 2025?
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Genting Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM11.56 juta, berbanding keuntungan RM882.95 juta setahun sebelumnya.
Pendapatan syarikat juga sedikit menurun, mencecah RM27.71 bilion berbanding RM27.72 bilion sebelum ini.

Syarikat memaklumkan bahawa prestasi kewangan yang lebih lemah ini sebahagian besarnya berpunca daripada pengukuhan ringgit terhadap dolar Singapura, pound British dan dolar AS, yang menjejaskan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras kumpulan.
“Prestasi perolehan Resorts World Sentosa disokong oleh sumbangan yang lebih baik susulan pelancaran Illumination’s Minion Land di Universal Studios Singapura pada Februari 2025 serta pelaksanaan inisiatif pembaharuan aset secara berfasa pada separuh kedua 2025, termasuk Singapore Oceanarium dan pusat beli-belah gaya hidup baharu WEAVE.
“Ini menyumbang kepada peningkatan prestasi, dengan momentum operasi yang semakin kukuh menjelang akhir tahun,” tambahnya.
Bagi tahun kewangan 2025, Resorts World Genting (RWG) mencatat peningkatan ketara dalam perolehan dan EBITDA terlaras berbanding tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh peningkatan aktiviti perniagaan.
“Selain itu, perolehan dan EBITDA terlaras bahagian perladangan bagi tahun kewangan 2025 adalah lebih tinggi berbanding angka pada tahun kewangan sebelumnya susulan harga isirung sawit yang lebih kukuh serta keuntungan yang direalisasikan daripada inventori dibawa ke hadapan,” menurutnya.
“Segmen pembuatan hiliran mencatatkan perolehan lebih tinggi yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan jumlah jualan.
“Bagaimanapun, EBITDA terlaras adalah lebih rendah pada tahun kewangan 2025 disebabkan penurunan margin pada suku-suku sebelumnya,” jelasnya.
Genting melaporkan bahawa bahagian tenaga serta sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan perolehan, manakala pelaburan dan segmen lain mengalami kerugian terlaras sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang rendah sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Bagi suku keempat 2025, syarikat mencatat kerugian bersih lebih tinggi, berjumlah RM289.97 juta, berbanding RM169.38 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Walaupun begitu, perolehan meningkat sedikit kepada RM6.94 bilion daripada RM6.88 bilion.
Kumpulan Genting Malaysia Bhd mengekalkan sikap optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek jangka pendek industri percutian dan hospitaliti, sambil mengekalkan pandangan positif untuk jangka masa panjang.
“Di Malaysia, kumpulan Genting Malaysia sedang memajukan beberapa inisiatif bagi memacu pertumbuhan kunjungan di RWG seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Penambahbaikan utama termasuk pelancaran terancang Eufloria iaitu tarikan bertema alam semula jadi di kawasan tengah bukit selain pengubahsuaian padang golf 18 lubang di Resorts World Awana yang akan terus mengukuhkan kedudukan RWG sebagai destinasi percutian dan hiburan serantau yang terkemuka,” tambahnya.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.