Ekonomi Serantau Bakal Terjejas Jika Krisis Indonesia Tak Reda!
Meskipun krisis politik yang melanda Indonesia hanya memberi impak kecil kepada ekonomi Malaysia, namun sekiranya berlarutan, penganalisis percaya ia mampu menjejaskan pasaran saham serta mata wang serantau.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Ahli Bank Ekonomi Bank Muamalat Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap sentimen pelabur di rantau ASEAN.

Beliau berkata, meskipun ringgit dijangka kekal stabil, namun rupiah dan pasaran Indonesia berisiko mengalami tekanan.
“Saya lihat ia tidak memberi kesan besar dari segi mata wang ringgit.
“Namun ia mungkin menjejaskan pasaran saham dan mata wang rupiah kerana ia berkait rapat dengan dasar ekonomi serta keperluan kerajaan Indonesia meredakan ketidakpuasan hati rakyat,” katanya pada Selasa.
Jelasnya, keresahan yang timbul di Indonesia adalah berpunca daripada kos sara hidup dan tahap pendapatan rakyat.
Situasi itu katanya, wajar dijadikan pengajaran buat Malaysia bukan sahaja dari segi dasar tetapi cara kerajaan berkomunikasi dengan rakyat.
Difahamkan, konflik yang berlaku di negara berkenaan disebabkan oleh rasa tidak puas hati rakyat terhadap dasar kerajaan dan menjadi lebih tegang apabila berlaku insiden membabitkan kematian orang awam.
“Justeru, ketidakpuasan hati itu meningkat dalam kalangan pemprotes dan menjadikan ia suatu gelombang besar di Pulau Jawa, beberapa negeri dan daerah juga menyaksikan protes berskala besar.
“Impak kepada Malaysia adalah minimal kerana ini adalah isu dalaman di Indonesia, tetapi isu kehidupan seperti kos sara hidup dan pendapatan rakyat yang dilihat pencetus kepada konflik perlu dijadikan iktibar bagi kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Afzanizam, kekeliruan atau data yang dimanipulasi termasuk oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh mencetuskan krisis sosial yang merugikan semua pihak.
Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa setiap dasar negara perlu dirangka dengan matlamat yang jelas serta disampaikan dalam bahasa difahami oleh golongan sasaran.
“Langkah ini akan mengurangkan risiko salah faham, seterusnya membantu kerajaan membina keyakinan rakyat dalam jangka panjang,” katanya.
Sumber : Harian Metro