Bursa Malaysia Terima Lampu Hijau Dari SC, Yuran Baharu Bakal Berkuat Kuasa 2026!
Bursa Malaysia Bhd telah menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi cadangan yuran SC yang dikenakan ke atas Bursa, termasuk semakan semula yuran kawal selia serta penyenaraian terpilih untuk penerbit tersenarai dan peserta pasaran.
Bernama melaporkan bahawa dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut memaklumkan telah menerima kelulusan berkenaan pada 30 Oktober 2025 mengikut peruntukan Seksyen 9 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Difahamkan, kelulusan tersebut merangkumi yuran penyenaraian bagi Pasaran Utama, ACE dan LEAP, selain yuran berkaitan aspek kawal selia.
Menurut kenyataan itu, pemberitahuan khusus akan disampaikan kepada pihak berkaitan, manakala semakan yuran dijadual mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
Bursa menambah bahawa hasil kutipan tambahan tahunan daripada pelarasan yuran tersebut yang sebahagian besarnya melibatkan yuran penyenaraian tahunan dianggarkan antara RM28 juta hingga RM34 juta setahun.
Tambah Bursa lagi, peningkatan kutipan yuran tambahan hasil semakan tersebut tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap pendapatannya dengan mengambil kira pelaksanaan yuran SC yang telah diumumkan pada 17 Oktober 2025.
“Ini merupakan semakan pertama ke atas yuran berkaitan kawal selia dan penyenaraian Bursa sejak 2001 dan 2007.
“”Semakan ini adalah tepat pada masanya dan wajar, sejajar dengan yuran SC yang baharu serta peningkatan kos pengawalseliaan, termasuk kos tenaga kerja dan sistem untuk menyokong peranan Bursa sebagai pengawal selia barisan hadapan dan pengendali pasaran,” katanya.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.
 
			 
				