BNPL Cecah RM4.9 Bilion, Belia Malaysia Makin Terhimpit Hutang?

46

Skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) terus menunjukkan pertumbuhan pesat apabila jumlah pinjaman yang direkodkan setakat 31 Disember 2025 mencapai RM4.9 bilion. Bagaimanapun, sumbangannya terhadap keseluruhan hutang isi rumah negara kekal kecil, sekitar 0.3 peratus, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Foto : BNPL

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang 2025, aktiviti transaksi BNPL melonjak kepada 243 juta urus niaga dengan nilai keseluruhan RM21.3 bilion. Angka itu mencerminkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, apabila pada 2024 skim tersebut mencatatkan 146 juta transaksi bernilai RM12 bilion, masing-masing meningkat sebanyak 66 peratus dari segi jumlah transaksi dan 78 peratus dari segi nilai.

“Setakat 31 Disember, jumlah BNPL yang tidak berbayar (overdue) adalah terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.

“Angka ini mencerminkan bahawa beban hutang pengguna BNPL adalah terurus,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Penjelasan itu dikemukakan oleh Liew sebagai respons kepada pertanyaan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) berhubung usaha Kementerian Kewangan dalam menilai sejauh mana rangka kerja kawal selia sedia ada berkesan mengawasi penyediaan kredit digital. Ia merangkumi kemudahan seperti skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) serta kredit e-dompet, khususnya dari sudut perlindungan kepentingan golongan muda.

Beliau turut mendedahkan bahawa penggunaan BNPL dalam kalangan belia berusia 30 tahun ke bawah menyumbang bahagian yang signifikan, dengan anggaran sekitar 40 peratus daripada keseluruhan transaksi yang direkodkan di bawah skim tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa kemudahan BNPL kebanyakannya dimanfaatkan untuk perbelanjaan harian seperti makanan, keperluan runcit, pengangkutan serta pelbagai perkhidmatan, dengan nilai purata setiap urus niaga direkodkan sekitar RM91.

“Kajian oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOBTF) menunjukkan lebih 70 peratus daripada keseluruhan pengguna aktif BNPL adalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.