BNM Lepas Pegangan Saham PayNet? Kerajaan Rancang Rombak Ekosistem Pembayaran Digital!

30

Bank Negara Malaysia (BNM) kini dalam proses merangka pelan jangka panjang bagi mengurangkan pegangan sahamnya dalam Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) secara berfasa.

Bernama melaporkan, Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan bahawa inisiatif itu sejajar dengan usaha BNM untuk meningkatkan persaingan pasaran serta mengukuhkan peranan industri dalam memacu ekosistem pembayaran digital negara.

Foto : Bernama

“Dalam melaksanakan pelan ini, BNM akan terus memastikan sistem pembayaran negara kekal stabil, berdaya tahan dan menyokong inovasi tanpa menjejaskan keselamatan, kebolehpercayaan serta keberkesanan sistem sedia ada,” kata MOF dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai respons kepada pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) berhubung perancangan kerajaan untuk menilai semula atau mengurangkan kadar pemilikan BNM dalam PayNet.

Difahamkan, BNM kini memegang 35.5 peratus saham dalam PayNet, menjadikannya pemegang saham terbesar.

Bank pusat itu juga telah meletakkan mandat yang jelas kepada syarikat berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan pembayaran digital yang inklusif dan kompetitif bagi pengguna serta peniaga.

Dalam pada itu, PayNet juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan dan ketahanan sistem pembayaran negara sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.