Audit Dikecualikan, Kompaun Masih Tinggi? DPMM Tegur SSM

13

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) disaran supaya menilai semula kadar kompaun yang tinggi ke atas syarikat yang didapati melanggar peruntukan Akta Syarikat 2016, menurut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Menerusi Harian Metro, Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, pendekatan terbaharu SSM berkenaan dilihat tidak seiring dengan langkah mengurangkan kos pematuhan audit, khususnya apabila syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merekodkan hasil kurang RM1 juta diberikan pengecualian audit sepenuhnya bermula 2025.

Foto : Google

“DPMM menerima pelbagai rungutan dan aduan daripada ahli serta pemilik syarikat berhubung penguatkuasaan kompaun sehingga mencecah RM40,000 bagi pelanggaran Seksyen 245, 248, 258 dan 340 Akta Syarikat 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, langkah berkenaan memberi beban kewangan yang ketara kepada PMKS yang sedia berdepan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan ekonomi semasa.

Pada penghujung 2024 lalu, SSM telah mengumumkan pengecualian audit kepada syarikat kecil yang memenuhi kriteria ditetapkan, antaranya mencatat hasil tahunan di bawah RM3 juta atau mempunyai kurang daripada 30 orang pekerja.

“Syarikat yang layak masih perlu mengemukakan penyata kewangan tidak di audit, manakala PMKS dengan hasil kurang RM1 juta dikecualikan sepenuhnya daripada keperluan audit mulai tahun depan,” katanya.

Menurut Norsyahrin, pelaksanaan pengecualian audit berkenaan bertujuan meringankan kos pematuhan dan mempermudah proses perniagaan, di samping memastikan aspek kecekapan serta ketelusan tadbir urus korporat terus diperkasakan.

“Pengenaan kompaun tinggi terhadap kesalahan pentadbiran tertentu bercanggah dengan semangat pengurangan beban pematuhan yang diperkenalkan sebelum ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, Seksyen 245 Akta Syarikat 2016 merangkumi kesalahan berkaitan ketidakpatuhan terhadap keperluan penyata kewangan dan audit, termasuk kegagalan menyediakan atau mengemukakan dokumen kepada SSM.

Tambahnya, Seksyen 248 pula melibatkan kegagalan mengemukakan laporan tahunan syarikat dalam tempoh yang ditetapkan, sementara Seksyen 258 merujuk kepada kesalahan berkaitan pendaftaran syarikat serta penyampaian maklumat korporat.

“Seksyen 340 pula berkaitan kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh SSM, termasuk arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang diperlukan,” katanya.

Menurut Norsyahrin, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang sekitar 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menyediakan hampir 66 peratus peluang pekerjaan di negara ini.

Beliau berkata, kadar kompaun yang tinggi berpotensi menjejaskan kelangsungan operasi syarikat kecil dan sederhana, sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelangsungan perniagaan, ia boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara.

“SSM perlu mempertimbangkan semula pendekatan lebih berhemah dan kadar kompaun yang dikenakan, khususnya terhadap PMKS.

“Kebijaksanaan dalam menangani isu ini amat penting bagi memastikan kelangsungan operasi PMKS serta kesejahteraan ekonomi negara,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.