Ascend Airways Malaysia Bakal ‘Terbang’ Buat Pertama Kali November Ini !
Industri penerbangan tempatan bakal menyaksikan kemunculan syarikat baharu susulan Ascend Airways Malaysia menerima kelulusan untuk beroperasi.
Syarikat itu dijangka memulakan penerbangan sulungnya pada November ini dengan menggunakan pesawat Boeing 737-800SF.
Memetik laporan Berita Harian, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Ascend Airways Malaysia, merupakan anak syarikat kepada Avia Solutions Group yang beribu pejabat di Ireland, iaitu penyedia perkhidmatan global merangkumi pesawat, kru, penyelenggaraan serta insurans (ACMI).

Dalam kenyataannya, Ascend Airways Malaysia memaklumkan bahawa syarikat itu telah menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) serta Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus membolehkan mereka memulakan operasi.
Difahamkan, syarikat penerbangan itu yang menerima Permit Perkhidmatan Udara Bersyarat (CASP) pada tahun 2024, telah menjalinkan kerjasama rapat dengan CAAM bagi menyempurnakan proses pelesenan berkenaan.
Namun begitu, operasi penerbangan penumpang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2026, tertakluk kepada kelulusan tambahan daripada pihak berkuasa.
Ascend Airways Malaysia berhasrat memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan ACMI dan penerbangan sewaan khas, meliputi pengangkutan penumpang serta kargo di Malaysia dan negara-negara sekitar Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Ascend Airways Malaysia, Germal Singh Khera, menjelaskan bahawa syarikat itu bertekad untuk menawarkan penyelesaian ACMI yang lebih fleksibel bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan negara.
Jumlah trafik penumpang dijangka meningkat antara 8.4 hingga 15.6 peratus pada tahun 2025, dengan anggaran mencapai antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang.
“Malaysia mempunyai kedudukan strategik sebagai hab logistik dan penerbangan yang menghubungkan Asia Tenggara, China serta India, sekali gus meletakkannya pada landasan kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, menjelaskan bahawa pemberian AOC dan ASP menunjukkan syarikat penerbangan berkenaan telah melalui proses penilaian yang ketat dan menyeluruh.
Beliau turut memuji komitmen serta ketekunan Ascend Airways Malaysia sepanjang proses pensijilan tersebut.
Sekadar info, Avia Solutions Group kini mengendalikan 187 pesawat yang beroperasi di pelbagai wilayah merangkumi Eropah, Asia dan benua Amerika.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.
 
			 
				