Apa Itu Candlestick ?
Candlestick merupakan salah satu cara untuk menceritakan pergerakan harga saham. Carta candlestick ini sangat popular dan digemari oleh penganalisa teknikal kerana carta ini membolehkan kita menterjemahkan maklumat tentang pergerakan harga saham dengan cepat.
Terdapat tiga asas candlestick yang kita perlu tahu:
1) Badan candlestick, menggambarkan julat harga pembukaan dan penutupan
2) Bayang candlestick menggambarkan pergerakan harga tertinggi dan terendah dalam masa sehari.
3) Warna candlestick, menggambarkan arah pergerakan harga, badan candle (hijau atau putih) menunjukkan harga meningkat. Sebaliknya untuk candle yang berwarna (merah atau hitam) pula, menunjukkan harga menurun.
Setelah kita mengenal dan memahami tentang asas dan cara pembentukan candlestick ini, kita juga boleh meramal pergerakan aliran pasaran saham dengan berpandukan bentuk candle yang terhasil apabila pasaran ditutp pada hari tersebut.
Jom kita kenali corak-corak candlestick yang sering digunakan oleh pedagang bagi membantu mereka membuat keputusan untuk jual atau beli sesuatu saham.
5 Corak Bullish Candlestick
Corak bullish candlestick kebiasaannya terjadi apabila fasa aliran menurun pasaran sudah sampai ke garisan penamatnya disertai dengan fasa pembetulan pada pergerakan harga pasaran.
- Hammer
Candlestick Hammer ini terbentuk dengan badan candle yang pendek dan mempunyai bayang dibawah yang panjang yang menyerupai ekor. Hammer candlestick akan berada di fasa aliran menurun di dalam pasaran.
Hammer ini menunjukkan bahawa terdapat tekanan jualan pada hari tersebut . Namun di pengakhiran sesi dagangan, tekanan belian daripada pembeli telah berjaya menolak naik semula harga saham. Warna hammer ini selalunya tidak begitu penting tetapi Hammer berwarna hijau adalah lebih baik berbanding merah.
- Inverse Hammer
Sama seperti candlestick hammer, cuma bentuk candlestick ini terbalik daripada candlestick hammer. Badan candlestick ini pendek tetapi mempunyai bayang yang panjang di atas menyerupai toncet.
Candlestick ini menggambarkan terdapat tekanan belian pada pembukaan pasaran dan diikuti dengan tekanan jualan pada akhir sesi dagangan. Namun, tekanan jualan ini tidak berjaya untuk menolak harga menjadi lebih rendah daripada pembukaan. Candlestick inverse hammer ini menjangkakan para pembeli akan mengawal pasaran kelak.
- Bullish Engulfing
Candlestick Bullish Engulfing ini terbentuk hasil daripada dua bentuk candlestick. Candlestick yang pertama adalah candle yang berwarna merah yang berbadan pendek yang akan diliputi sepenuhnya oleh candle berwarna hijau pada hari selepasnya.
Pembukaan harga pada candle kedua akan lebih rendah berbanding harga penutupan untuk candle pertama. Namun, tekanan belian untuk candle kedua ini telah menolak harga saham naik lebih tinggi sehingga membentuk candle hijau yang panjang dan meliputi candle sebelumnya.
- Morning Star
Candlestick Morning Star ini memberi harapan ketika pasaran yang suram berada dalam fasa aliran menurun. Candle Morning Star ini terdiri daripada tiga candlestick di mana ada satu candle yang kecil menyerupai bintang kecil berada di tengah antara dua candle panjang berwarna merah( pada sebelumnya) dan hijau (pada selepasnya). Kebiasaanya, candle berbentuk bintang tersebut tidak akan bertindih dengan dua candle yang panjang tersebut. Ini kerana jurang harga ketika pasaran dibuka pada hari berkenaan dengan harga pasaran ditutup pada hari sebelumnya.
Apabila corak ini berlaku, ianya menandakan bahawa tekanan jualan sudah mula reda dan fasa aliran menaik bakal menyusul.
- Three White Soldiers
Corak pembentukan candlestick Three White Soldier terhasil dalam masa tiga hari berturut-turut. Corak ini terhasil apabila candle hijau yang panjang terjadi selama tiga hari berturut-turut dan candle tersebut sedang membuat fasa kenaikan sepanjang tiga hari tersebut.
5 Corak Bearish Candlestick
Corak candlestick bearish pula kebiasaanya terjadi ketika fasa aliran menaik di dalam pasaran. Ini menandakan fasa aliran kenaikan sudah berada di penghujungnya dan fasa aliran menurun bakal bermula.
- Hanging Man
Candlestick Hanging Man ini mempunyai bentuk serupa dengan candlestick hammer,cuma candlestick ini muncul pada aliran fasa kenaikkan.
Candlestick Hanging Man ini menggambarkan terdapat tekanan jualan apabila pasaran dibuka, namun tekanan belian oleh pedagang telah berjaya menolak harga naik semula pada penutupan sesi dagangan pada belah petang.
- Shooting Star
Untuk candlestick Shooting Star pula, candlestick ini menyerupai candlestick Inverted Hammer iaitu mempunyai badan candle yang pendek dan mempunyai bayang yang panjang menyerupai ekor.Tetapi candlestick ini terbentuk ketika pasaran berada pada fasa aliran menaik.
Kebiasaanya, terdapat jurang harga ketika pasaran dibuka. Namun, tekanan belian menolak harga naik ke paras tertinggi bagi hari tersebut sebelum ditutup pada paras yang sama seperti ketika pasaran ditutup pada hari sebelumnya. Candlestick ini kelihatan seperti tahi bintang jatuh ke bumi.
- Bearish Engulfing
Corak candlestick Bearish Engulfing ini pula berlawanan sifatnya dengan Bullish Engulfing. Corak ini akan berlaku pada penghujung fasa aliran menaik. Candle pertamanya mempunyai badan berwarna hijau yang lebih pendek dan diliputi oleh candle berwarna merah yang panjang pada hari berikutnya.
Ini menandakan kemuncak fasa aliran menaik bakal berakhir dan fasa aliran kejatuhan akan tiba. Semakin rendah harga jatuh untuk candle hari kedua tersebut, semakin kuat sentimen kejatuhan terhadap harga saham.
- Evening Star
Candlestick Evening Star ini adalah hasil daripada tiga candle berturut-turut pada fasa aliran menaik. Corak candlestick ini terbentuk apabila satu candle yang badannya pendek dan mempunyai sedikit bayang pada atas dan bawah candle tersebut, dan diapit di antara dua candle panjang hijau (pada hari sebelumnya) dan merah (pada hari selepasnya).
Ini menunjukkan pasaran akan membuat fasa pembetulan dan disambung dengan fasa aliran menurun. Tanda ini menjadi lebih kuat sekiranya candle yang ketiga lebih panjang daripada candle yang pertama.
- Three Black Crows
Pembentukan Candlestick Three Black Crows terdiri daripada kemunculan tiga candle merah yang panjang secara berturut-turut. Setiap kali pada pembukaan sesi dagangan, harga akan dibuka hampir sama dengan harga pada hari sebelumnya sebelum harga tersebut menerima tekanan jualan yang kuat dan menolak harga jatuh ke bawah sehingga pasaran ditutup.
Para pedagang mentafsirkan corak ini sebagai permulaan kepada aliran fasa menurun, kerana tekanan jualan yang kuat telah terjadi selama tiga hari berturut-turut yang membuatkan emosi pedagang bercelaru.
Demikianlah beberapa contoh candlestick popular yang sering digunakan para pedagang. Sebenarnya terdapat banyak lagi candlestick lain yang boleh dijadikan rujukan.
Penggunaan candlestick ini hanyalah sekadar ilmu tambahan kepada pelabur, kerana untuk menjadi seorang pelabur berjaya, kita memerlukan ilmu pelaburan yang lebih mendalam dan meluas lagi.
Penafian : Sumber dari Bernama
Penafian: Pendedahan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja
Penulis : Azrina Noorsam
Berminat untuk join Komuniti Trading Scalper No 1 Di Malaysia? Jom join Telegram Channel untuk Tips dan Info semasa mengenai SuperScalper
https://t.me/+ICnBSih70bA1MTI1