Anak Syarikat Southern Score ‘Sapu’ Kontrak Pusat Data RM87.8 Juta!
Southern Score Builders Bhd memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya yang dimiliki 51 peratus, SJEE Engineering Sdn Bhd, telah menerima surat anugerah (LoA) daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan.
Melalui anugerah tersebut, SJEE Engineering akan menjalankan kerja-kerja subkontrak bagi sebuah projek pusat data bernilai RM87.8 juta.

Difahamkan, skop kerja tersebut merangkumi pembekalan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan bagi sistem elektrik dan sistem voltan sangat rendah.
“Lembaga pengarah berpendapat projek ini merupakan urusan biasa perniagaan dan demi kepentingan terbaik untuk kumpulan,” katanya.
Menerusi laporan Bernama, Southern Score Builders menjelaskan bahawa penerimaan LoA oleh SJEE Engineering bagi projek tersebut tidak menjejaskan modal saham mahupun struktur pemegangan saham syarikat.
Dalam pada itu, syarikat itu juga menegaskan bahawa tiada kesan serta-merta terhadap aset bersih sesaham dan tiada perubahan pada tahap kadar hutang ekoran pelaksanaan projek berkenaan.
“Bagaimanapun, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham syarikat serta kumpulannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya sehingga projek disiapkan,” tambahnya.
Projek berkenaan dijadual bermula pada 3 Disember 2025 dan ditamatkan pada 7 Disember 2026, mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.