PETRONAS Gerak Pasukan Khas, Misi Besar Tambah Output Minyak & Gas!

16

PETRONAS kini giat bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan bekalan tenaga domestik kekal stabil, dalam masa sama mempercepatkan usaha meningkatkan pengeluaran minyak mentah negara.

Naib Presiden Pembangunan Huluan PETRONAS, Mohd Nazlee Rasol, menjelaskan bahawa sebagai syarikat minyak dan gas nasional, aspek keterjaminan bekalan terus menjadi keutamaan utama. Ketika ini, fokus diberikan kepada usaha mengenal pasti pendekatan lebih pantas dan berkesan bagi meningkatkan tahap pengeluaran.

Foto : Reuters

Dalam usaha tersebut, PETRONAS turut menjalinkan perbincangan bersama beberapa penyedia perkhidmatan termasuk Weatherford, bagi meneroka penggunaan teknologi serta inisiatif baharu yang mampu memperkukuh pengeluaran minyak dan gas.

Beliau menyampaikan perkara itu ketika menyertai sesi panel bertajuk “Accelerating Development for Energy Security: Fast-Tracking Field Strategies in a Volatile World” sempena Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia) yang berlangsung pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Nazlee memaklumkan bahawa PETRONAS telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang bertanggungjawab mengkaji strategi bagi meningkatkan tahap pengeluaran. Menurutnya, inisiatif tambahan yang sedang dirancang itu penting bagi memastikan bekalan kepada fasiliti penapisan terus konsisten dan tidak terjejas.

“Bagi gas pula, di Sarawak misalnya, kami mempunyai bekalan gas yang banyak selain portfolio. Apa yang pasti, apa juga yang berlaku di Asia Barat akan memberi impak ke atas sebahagian daripada portfolio ini.

“Kami juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa terbabit untuk melihat bagaimana dapat meningkatkan aspek keterjaminan bekalan agar Malaysia tidak terjejas,” katanya.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.