Ramai ‘Downgrade’ Pelan Murah, Pendapatan Astro Kini Semakin Merosot

15

Menurut TA Securities, usaha penstrukturan semula yang dilaksanakan oleh Astro Malaysia Holdings Bhd menerusi Astro One tidak memberikan lonjakan jumlah pelanggan seperti yang diharapkan.

Penganalisisnya, Joram Isac S Ooi, menjelaskan bahawa pendekatan tersebut sebaliknya memberi kesan kanibalisasi, apabila sebahagian pelanggan memilih untuk beralih kepada pelan yang lebih murah. Peralihan ini akhirnya menyebabkan jumlah pelanggan keseluruhan menyusut serta menekan ARPU (hasil purata bagi setiap pengguna).

Foto : The Edge Malaysia

“Akibatnya, pendapatan turut merosot. Walaupun pihak pengurusan menjangkakan ARPU akan stabil, kami melihat kelemahan berterusan dalam asas pelanggan dan mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap prospek sehingga terdapat tanda pemulihan yang lebih jelas.

“Kami kekal berhati-hati kerana tekanan makroekonomi dan sentimen pengguna yang lemah boleh menjejaskan prospek pertumbuhan serta memperlahankan kemajuan inisiatif transformasi Astro,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, Astro Malaysia Holdings Bhd merekodkan penurunan ketara dalam keuntungan bersih kepada RM63.13 juta, berbanding RM129.15 juta yang dicapai pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam masa sama, jumlah hasil kumpulan penyiaran tersebut, termasuk operasi televisyen berbayar, turut merosot kepada RM2.79 bilion daripada RM3.08 bilion yang direkodkan setahun sebelum itu.

“Penurunan itu disebabkan terutamanya oleh pengurangan hasil daripada langganan, pengiklanan, pendapatan sewa dan jualan hak pemprograman,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Januari 2026, Astro mencatat peningkatan keuntungan bersih kepada RM24.07 juta berbanding RM10.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya. Namun, hasil bagi tempoh tersebut menurun sebanyak RM53.5 juta atau 7.0 peratus kepada RM712.9 juta, berbanding RM766.4 juta yang direkodkan sebelum ini.

Menurut Astro, penyusutan hasil itu berpunca daripada penurunan pendapatan dalam segmen langganan dan pengiklanan.

Sehingga 31 Januari 2026, jumlah aset kumpulan itu turut berkurangan kepada RM4.97 bilion daripada RM5.48 bilion setahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak RM509.9 juta atau 9.3 peratus.

Dalam pada itu, Ooi memaklumkan bahawa pihak pengurusan kekal komited meneruskan agenda transformasi syarikat, dengan memberi fokus kepada pertumbuhan mampan untuk jangka panjang. Usaha tersebut termasuk memperkukuh kandungan tempatan, memperluas segmen perniagaan seperti sooka (penstriman freemium), Astro Fibre, penyelesaian perusahaan serta pengiklanan, di samping menambah baik kecekapan kos legasi.

“Kami telah menurunkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 27.4 peratus dan 5.7 peratus, berikutan semakan menaik terhadap andaian kos kandungan sebanyak tujuh hingga lapan peratus,” jelasnya lagi.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.