Ketegangan yang semakin memuncak susulan tindakan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah mencetuskan kebimbangan global, sekali gus mendorong pelabur memindahkan pegangan mereka ke instrumen yang lebih stabil seperti emas.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata lonjakan permintaan terhadap logam berharga itu menyaksikan harga emas dunia melonjak sehingga mencecah AS$5,500 seauns. Menurutnya, pasaran tidak menunggu lama untuk bertindak apabila laporan mengesahkan kehadiran jet pejuang Amerika di Israel.

Beliau menjelaskan bahawa situasi tersebut memberi isyarat jelas bahawa ketegangan geopolitik kini telah beralih daripada sekadar kenyataan politik kepada tindakan ketenteraan yang nyata perkembangan yang lazimnya mencetuskan reaksi pantas dalam pasaran kewangan global.
“Dengan dagangan Jumaat yang ditutup pada paras AS$5,278.51 setiap auns, emas telah mendahului risiko peningkatan awal. Berdasarkan sejarah sebelum ini, menunjukkan bahawa dalam episod kejutan bekalan seperti penutupan Selat Hormuz atau serangan terhadap infrastruktur minyak Asia Barat, emas lazimnya bergerak seiring dengan minyak mentah.
“Kebiasaannya, emas meningkat sekitar 0.20 hingga 0.35 peratus bagi setiap kenaikan satu peratus harga minyak. Berdasarkan paras semasa, emas berpotensi naik lagi sekitar AS$125 hingga AS$220, sekali gus meletakkan paras unjuran pada julat US$5,400 hingga AS$5,500 sekiranya harga minyak mentah terus melonjak akibat risiko gangguan bekalan yang berterusan atau kenaikan mendadak tambahan sebanyak AS$10,” katanya kepada media.
Menurut Stephen Innes, pergerakan emas ketika ini bukan didorong oleh sentimen pertumbuhan ekonomi seperti yang lazimnya mempengaruhi harga minyak mentah. Sebaliknya, katanya, pasaran memberi tumpuan kepada kesan kenaikan harga tenaga terhadap jangkaan inflasi, pulangan sebenar serta risiko tekanan dalam sistem kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan bahawa ketidaktentuan yang semakin meruncing di Asia Barat telah sedikit sebanyak menghakis status dolar Amerika Syarikat sebagai aset perlindungan utama.
Beliau menjelaskan bahawa dalam suasana geopolitik yang tidak menentu, emas dan logam berharga lain menjadi pilihan lebih relevan sebagai instrumen lindung nilai kerana nilainya tidak bergantung secara langsung kepada dinamika politik mana-mana negara.
“Meskipun mempunyai sedikit kelebihan, pasaran dijangka kekal dalam mod penghindaran risiko khususnya dalam pasaran ekuiti global,” katanya.
Sementara itu, di peringkat domestik, Mohd Afzanizam berkata kenaikan harga emas memberi kesan positif kepada perniagaan Ar Rahnu.
“Nilai cagaran akan meningkat dan ini dapat membantu memperluas akses pembiayaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi membiayai modal kerja,” kata beliau
Pada 26 Februari 2026, harga emas fizikal direkodkan pada AS$5,167.35 bagi setiap auns troy berdasarkan penetapan petang oleh London Bullion Market Association (LBMA).
Dalam perkembangan berasingan, laporan pada Sabtu menyatakan bahawa Israel telah melancarkan beberapa serangan udara yang menyasarkan lokasi tertentu di Iran, sekali gus memperhebatkan lagi konflik sedia ada.
Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memaklumkan bahawa Washington telah memulakan operasi ketenteraan berskala besar di Iran, mengesahkan penglibatan langsung negara itu bersama Israel dalam tindakan tersebut.
Serangan berkenaan berlaku selepas peningkatan signifikan aset ketenteraan Amerika di rantau itu, yang dilihat sebagai langkah memberi tekanan kepada Tehran berhubung isu program nuklearnya, tatkala demonstrasi besar-besaran masih berlangsung.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.