‘Untung’ RM2.4 Juta Hanya Angan-Angan, Peniaga Jadi Mangsa Scam Pelaburan!

7

Seorang peniaga berusia 51 tahun hampir meraikan pulangan lumayan lebih RM2.4 juta daripada apa yang disangkanya pelaburan saham, namun harapan itu berkecai apabila dia diminta menjelaskan bayaran sebanyak RM241,849 kononnya sebagai caj pelepasan dana, bersamaan 10 peratus daripada keuntungan tersebut.

Permintaan luar biasa itu mencetuskan rasa curiga sebelum dia akhirnya menyedari telah menjadi mangsa penipuan, apabila pelaburan berkenaan rupa-rupanya tidak pernah wujud, sekali gus menyebabkan kerugian keseluruhan mencecah RM335,450.

Foto : Janaan AI

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa mula terperdaya selepas melihat satu iklan berkaitan pelaburan saham di Facebook ketika melayari media sosial pada 19 November tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi individu yang dipercayai terlibat melalui aplikasi WhatsApp, sebelum ditawarkan satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan sekitar 12 peratus dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari, dengan modal permulaan ditetapkan sebanyak RM10,000.

“Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan, mangsa memuat turun satu aplikasi pelaburan dalam talian melalui pautan yang diberikan suspek.

“Dalam tempoh 4 Disember 2025 hingga 27 Januari lalu, mangsa telah membuat 19 transaksi pemindahan wang sebagai modal pelaburan ke dalam dua akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM335,450 menggunakan wang simpanan sendiri dan wang pinjaman daripada rakan-rakan,” katanya.

Menurut Yahaya, sebaik sahaja wang berkenaan diserahkan, mangsa kemudian diberitahu bahawa pelaburan tersebut kononnya telah berkembang sehingga mencatat pulangan mencecah RM2,418,499.

“Namun malangnya, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut, dia diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terburu-buru menyertai mana-mana skim pelaburan, sebaliknya mendapatkan pandangan serta pengesahan terlebih dahulu daripada pihak polis terdekat bagi mengelakkan terjerat dengan taktik penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.