3,276 Unit Dalam Sebulan, Proton e.MAS 5 Antara Model EV Paling Laris di Malaysia !
PRO-NET, iaitu cabang kenderaan elektrik di bawah PROTON mencatat pencapaian baharu apabila berjaya menyerahkan 3,276 unit Proton e.MAS 5 sepanjang Januari 2026. Angka ini menjadi rekod penghantaran bulanan tertinggi yang pernah direkodkan syarikat itu bagi satu model setakat ini.
Prestasi kukuh tersebut mengukuhkan lagi kedudukan jenama Proton e.MAS di pasaran tempatan, selepas menutup tahun 2025 dengan jualan sebanyak 9,549 unit. Jumlah itu mewakili kira-kira enam peratus daripada keseluruhan jualan PROTON, selain menyumbang 22 peratus pegangan pasaran kenderaan elektrik di Malaysia.

Model e.MAS 5 yang mula dipasarkan pada 30 Oktober 2025 itu tampil sebagai kenderaan elektrik mampu milik pertama keluaran PROTON, dengan matlamat memperluaskan akses rakyat Malaysia kepada teknologi mobiliti elektrik.
Sebelum diperkenalkan secara rasmi, model ini terlebih dahulu dipertontonkan kepada umum sempena Sidang Kemuncak ASEAN, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi, bukan sahaja di peringkat nasional malah juga di rantau ini, terhadap hala tuju elektrifikasi yang dibawa PROTON.
Sebaik sahaja berada di pasaran, Proton e.MAS 5 terus mencuri tumpuan dengan mencatat peningkatan permintaan ketara, sekali gus menggambarkan perubahan sikap pengguna tempatan yang kini lebih terbuka untuk beralih kepada kenderaan elektrik mampu milik.
“Sejak pelancarannya, Proton e.MAS 5 menerima sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia, melebihi apa yang kami jangkakan.
“Menjual lebih 3,000 unit dalam sebulan adalah bukti kekuatan produk dan keyakinan kami kepada rakyat terhadap masa depan EV di Malaysia.
“Kami amat menghargai kepercayaan semua pelanggan dan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa rebat harga pelancaran RM3,000 akan terus ditawarkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET Zhang Qiang.
Difahamkan, tumpuan PRO-NET ketika ini adalah memastikan proses penyerahan kenderaan berjalan lancar kepada pelanggan, di samping meneruskan usaha memperkukuh pembangunan ekosistem kenderaan elektrik secara menyeluruh.
“Kami komited untuk memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja memiliki kenderaan elektrik yang berkualiti, tetapi juga mendapat sokongan daripada ekosistem lengkap yang menyokong gaya hidup mereka.
“Kami akan terus memperluas tawaran EV kerana fokus kami adalah menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses dan praktikal untuk semua,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menghargai sokongan pengguna, PRO-NET terus memperluaskan barisan produknya dengan memperkenalkan model-model baharu.
Dalam tempoh belum mencecah dua tahun sejak mula beroperasi, syarikat itu kini sudah memasarkan tiga kenderaan, dengan penambahan terbaharu ialah Proton e.MAS 7 PHEV.
Model tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kenderaan dwi-tenaga elektrik pertama di negara ini, selain turut menandakan kemunculan sulung model ‘plug-in hybrid’ keluaran PROTON.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.