Lampu Hijau Dari SC: MTT Shipping & Logistics Sasar Pasaran Utama Bursa
MTT Shipping and Logistics Bhd (MTTSL) menerima lampu hijau daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi melangkah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).
Menurut Pengarah Urusannya, Ooi Lean Hin, penyenaraian yang dicadangkan itu bakal menjadi lonjakan strategik untuk masa depan syarikat, selari dengan perancangan MTTSL memperluaskan capaian perkhidmatan ke Asia Tenggara, rantau India serta pasaran China.

“Kami akan mengembangkan rangkaian kami melalui pembelian kapal kontena tambahan dengan pelbagai keupayaan untuk memanfaatkan pertumbuhan jumlah kargo yang dipacu oleh penjajaran semula rantaian bekalan dan penempatan semula lokasi pengeluaran.
“Kami juga menumpukan kepada pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu kami bagi merangsang pertumbuhan sektor domestik di Malaysia Timur dengan menangani jurang infrastruktur di samping membina kapasiti logistik dalam menyokong pertumbuhan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur serta pertumbuhan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelaksanaan IPO MTTSL merangkumi pengagihan saham kepada pelabur institusi dan orang awam, dengan terbitan keseluruhan sebanyak 633.5 juta unit saham biasa baharu syarikat itu.
“Bagaimanapun, tiada tawaran penjualan saham biasa sedia ada di bawah cadangan IPO itu dan semua dana yang dikumpulkan menerusi cadangan IPO berkenaan akan diterima sepenuhnya oleh kumpulan.
“Sebanyak 312.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 258.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih Malaysia (selain pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI) serta pelabur institusi dan pelabur terpilih asing di luar Amerika Syarikat (AS) selaras dengan Peraturan S di bawah Akta Sekuriti AS 1933.
Menurut MTTSL, sejumlah 12.5 juta saham dikhaskan untuk pengarah, warga kerja kumpulan serta individu yang memainkan peranan penting dalam pencapaian syarikat, yang layak menyertai tawaran runcit berkenaan.
Selain itu, sebanyak 50 juta saham lagi akan dibuka kepada orang awam di Malaysia menerusi mekanisme pengundian.
Bagi pelaksanaan IPO tersebut, CIMB Investment Bank Bhd dilantik memegang peranan utama sebagai penasihat, selain bertindak selaku penyelaras global bersama, penyelaras bersama serta penaja jamin pengurusan dan bersama.
CLSA Limited bersama CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd pula berperanan sebagai penyelaras global bersama dan penyelaras bersama, manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd dilantik sebagai penyelaras bersama serta penaja jamin bersama.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.