PETRONAS Tembusi Pasaran China, Meterai Jualan LNG Sejuta Tan Setahun

45

Satu perjanjian jual beli (SPA) bagi pembekalan satu juta tan setahun gas asli cecair (LNG) telah dimeterai antara PETRONAS LNG Ltd, anak syarikat PETRONAS, dan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte Ltd.

Berteraskan hubungan kerja yang telah lama terjalin, perjanjian itu mengukuhkan kerjasama PETRONAS dan CNOOC dalam pembekalan LNG di samping menyokong ekonomi China serta agenda tenaga bersihnya.

Foto : Reuters

Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan PETRONAS LNG, Shamsairi M Ibrahim menjelaskan perjanjian itu menjadi bukti pengukuhan hubungan strategik PETRONAS dan CNOOC, di samping memajukan komitmen bersama dalam aspek keselamatan tenaga dan peralihan kepada masa depan karbon yang lebih rendah.

Beliau menambah, kerjasama berkenaan bukan hanya tertumpu kepada pembekalan LNG, sebaliknya melambangkan kesinambungan perkongsian jangka panjang yang semakin berkembang.

“PETRONAS kekal komited untuk menyediakan penyelesaian LNG yang andal dan bersih, bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memajukan matlamat peralihan tenaga bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Melalui komitmen jangka panjang itu, PETRONAS terus memperkukuh peranannya sebagai rakan LNG dipercayai China, di samping memperlihatkan kerjasama berterusan dengan CNOOC dalam pasaran gas Asia yang dinamik.

PETRONAS akan terus menyalurkan LNG daripada portfolionya yang mantap bagi menyokong keperluan tenaga pelanggan di rantau Asia, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap bahan api rendah karbon.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.