Baru Mula Dagang Dah Raih RM24 Juta ! Polymer Link Sedia Lebarkan Sayap Ke Peringkat Global
Polymer Link Holdings Bhd (Polymer Link) memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan harga awal RM0.25 sesaham, selari dengan kemunculan sulung syarikat itu yang terkenal dalam pembuatan serbuk plastik serta colour masterbatch untuk kegunaan acuan putaran.
IPO syarikat itu melibatkan penerbitan 97.15 juta saham baharu yang berjaya mengumpul RM24.29 juta. Dana berkenaan akan digunakan untuk beberapa komitmen utama, termasuk RM5.03 juta bagi mengembangkan operasi di Australia, RM6.20 juta sebagai modal kerja, RM3.61 juta untuk perbelanjaan modal, RM2 juta bagi melangsaikan pinjaman bank, serta RM7.45 juta yang diperuntukkan untuk kos penyenaraian.

Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Polymer Link, Koh Song Heng, penyenaraian ini menandakan satu langkah besar yang memberi peluang lebih luas untuk mengukuhkan lagi kehadiran syarikat di pasaran antarabangsa.
“Dengan modal yang dikumpul, kami bersedia meningkatkan keupayaan teknikal dan memperluas jejak pasaran bagi memenuhi permintaan pelanggan di pelbagai wilayah,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian.
Syarikat itu juga berhasrat menubuhkan sebuah gudang baharu berkeluasan 2,500 kaki persegi di Brisbane, Queensland.
Langkah ini dijangka mempercepatkan tempoh penghantaran daripada empat hingga enam minggu kepada kira-kira 1.5 minggu sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
Selain itu, syarikat merancang melantik wakil jualan di Poland dan menambah modal kerja bagi pembelian resin plastik, sebagai langkah memperkukuh kehadiran serta memenuhi permintaan pasaran Eropah yang sedang berkembang dengan cepat.
Sekadar info, kilang syarikat di Malaysia beroperasi pada kadar penggunaan sekitar 67.4 peratus. Bagi menampung peningkatan kapasiti, sebanyak RM3.61 juta daripada dana IPO akan disalurkan untuk membeli mesin baharu.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.