Buka Kedai Baru Tak Henti, Tapi Untung 7-Eleven Tetap Menyusut Teruk

97

Keuntungan bersih 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 merosot 80.52% tahun ke tahun kepada RM2.13 juta, dipengaruhi oleh peningkatan kos pelaburan untuk memperluaskan rangkaian 7-Café yang memberi tekanan kepada prestasi kewangannya.

Menurut Berita Harian, sepanjang suku tersebut, syarikat berkenaan telah menambah 277 lagi cawangan 7-Café, menjadikan jumlah keseluruhannya kini 748 kedai.

Foto : Berita Harian

Namun begitu, pendapatan suku tahunan tetap menunjukkan peningkatan sebanyak 6.96% kepada RM795.85 juta, berbanding RM744.05 juta sebelumnya hasil daripada pembukaan tambahan 67 kedai baharu.

Perbelanjaan operasi turut naik 9.5% atau RM22.9 juta, didorong oleh kos pengendalian kedai yang semakin tinggi selepas pertambahan bersih 67 cawangan baharu, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kedai kepada 2,678.

Difahamkan, kumpulan tidak mengumumkan sebarang dividen untuk suku berkenaan.

Prestasi suku yang lemah itu turut menekan keuntungan bersih bagi tempoh Januari hingga September, yang susut 26.08% kepada RM32.72 juta berbanding RM44.27 juta dalam tempoh sama tahun kewangan 2024.

Hasil untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini turut meningkat 8.1% kepada RM2.36 bilion, berbanding RM2.18 bilion sebelum ini.

Bagi prospek, 7-Eleven menjelaskan bahawa segmen kedai serbanekanya akan terus memperluas rangkaian 7-Café di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Turut sama penting ialah usaha berterusan kami untuk meningkatkan jualan kopi premium pada harga berdaya saing dan penawaran label jenama sendiri, bagi memenuhi keperluan kumpulan pengguna moden yang semakin mengutamakan ciri produk berbanding kesetiaan terhadap jenama tradisional,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.