12.9 Juta Transaksi! Pembayaran QR Rentas Sempadan ASEAN Kini Jadi Pilihan Ramai
Penggunaan sistem QR untuk pembayaran rentas sempadan ASEAN melonjak, dengan mencatat 12.9 juta transaksi sepanjang separuh pertama 2025.
Menurut Harian Metro, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, rangkaian rentas sempadan ke negara lain sedang diteroka dan dilaksanakan untuk memperkukuh ketersambungan serantau.

“Berasaskan inisiatif ini, seperti Projek Nexus yang diketuai bersama oleh Malaysia dan rakan kongsi serantau sedang berusaha meneroka batas baharu dalam pembayaran digital.
“Dengan menghubungkan sistem pembayaran segera merentas sempadan, Projek Nexus membolehkan transaksi runcit dilakukan hampir serta-merta,” kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Tahunan Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN ke-48, di sini hari ini.
Abdul Rasheed menjelaskan bahawa Projek Nexus bukan sahaja menawarkan kelajuan dan kecekapan, tetapi turut berpotensi meningkatkan tahap keterangkuman kewangan.
“Ia membolehkan para pekerja, usahawan mikro dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi bersepadu tanpa memerlukan pengaturan perbankan yang kompleks — semuanya didayakan oleh kewangan digital.
“Melangkaui pembayaran digital, sektor kewangan sedang mempertingkat usaha menggalakkan penyelesaian mata wang tempatan serta memperdalam ketersambungan perbankan dan pasaran modal bagi menyokong perniagaan di seluruh rantau ini merealisasikan potensi mereka,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa di peringkat dasar, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) menandakan satu langkah maju yang signifikan.
“Dengan mengharmonikan peraturan mengenai tadbir urus data, e-pembayaran, identiti digital dan keselamatan siber, DEFA sedang menyediakan landasan untuk sebuah ekonomi digital tanpa sempadan — yang selamat, berskala dan inklusif sejak daripada pembentukkannya.
“Usaha ini sedang membuka potensi peluang kepada jutaan orang untuk mengakses dan meraih manfaat daripada ekonomi digital,” tambah beliau.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.